Graduan Sijil Perkhidmatan Logistik Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) cawangan Sepang Choo Siew Joon, 54, (lima,kiri) menerima Anugerah Usahawan di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Selangor 2024 pada 12 Ogos 2024. Foto Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat Kolej Komuniti Kuala Langat
AGENSISELANGOR

Nenek tiga cucu rangkul anugerah usahawan, cipta produk kosmetik

SHAH ALAM, 13 OGOS: Nenek tiga cucu dinobatkan penerima Anugerah Usahawan pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Selangor 2024 semalam.

Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) memaklumkan Choo Siew Joon, 54, adalah graduan Sijil Perkhidmatan Logistik KKKL cawangan Sepang.

“Joon mula menceburkan diri dalam bidang inovasi menerusi Pertandingan Innocomp: Reka Cipta Eko Friendly Project dan berjaya merangkul johan kategori bukan teknikal.

“Dalam pertandingan itu, Joon mencipta produk ‘Pink Masker’ yang dihasilkan daripada buah naga khas untuk penjagaan kulit wajah,” katanya.

Graduan Sijil Perkhidmatan Logistik Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) cawangan Sepang Choo Siew Joon, 54, menerima Anugerah Usahawan di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Selangor 2024 pada 12 Ogos 2024. Foto Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat Kolej Komuniti Kuala Langat

Ibu lima anak itu turut menjalankan perniagaan menjual buah naga dan produk berasaskan buah naga seperti aiskrim dan kerepek untuk menyara kehidupannya dan keluarga sebelum melanjutkan pengajian.

Usai melanjutkan pengajian, Joon berjaya mengembangkan lagi perniagaan dengan mendaftar syarikat miliknya DHA Heritage Venture berstatus milikan tunggal pada Julai 2023.

Difahamkan, ia juga adalah atas bantuan pensyarah Program Sijil Perkhidmatan Logistik Roslina Ahmad serta pensyarah lain.

Sebelum ini, Joon membawa pulang geran RM10,000 selepas mendapat tempat kedua Anugerah Khas Keusahawanan Digital & Inovatif Kategori Syarikat Pemula Siswa Terbaik.

Anugerah itu diterima menerusi Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023. Selain itu beliau turut memenangi tempat ketiga: Kategori Asas Tani bagi Pertandingan Anugerah Inovasi Pertanian Selangor 2023.

Terdahulu, Joon antara 1,216 graduan Kolej Komuniti Selangor diraikan pada Majlis Konvokesyen 2024 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Anugerah disampaikan Pengarah Yayasan Tenaga Nasional Mohamad Nor Azali Lajin.


Pengarang :