AGENDABERITA UTAMANASIONALPERSONALITIRENCANA

100 hari kes simbah asid Faisal Halim, peminat menanti siasatan polis

SHAH ALAM, 13 OGOS: Hari ini genap 100 hari serangan asid yang menimpa pemain Selangor FC Faisal Halim pada 5 Mei di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya tetapi siapa pelakunya?

Insiden tersebut dipercayai pertama kali berlaku melibatkan atlet negara mengakibatkan Faisal yang mesra digelar ‘Mickey’ melecur tahap empat di muka, tengkuk, dada, bahu dan tangan.

Ekoran kecederaan yang menjejaskan lapisan kulit sehingga melibatkan otot dan tulang, pemain itu dimasukkan ke unit rawatan rapi sebuah hospital swasta di sini untuk pemeriksaan lanjut.

Penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 di Qatar itu terpaksa menjalani empat pembedahan cantuman kulit untuk menutup bahagian yang rosak akibat simbahan asid sulfurik pekat.

Menurut Ketua Perubatan Sukan Selangor FC Dr Muhammad Hazwan Khair, pembedahan tersebut yang dilakukan pakar perubatan luar negara dianggar menelan kos lebih RM30,000.

Pengerusi Selangor FC Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah yang juga Raja Muda Selangor menyatakan kesediaan untuk menanggung kos rawatan dan perubatan pemain itu sehingga pulih.

Kes berkenaan mendapat kecaman ramai termasuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menggesa polis membuat siasatan hingga pelakunya ditangkap.

Justeru, EXCO Sukan Najwan Halimi berharap polis memaklumkan perkembangan terkini kes yang menggemparkan negara berikutan kejadian sedemikian melibatkan keselamatan pemain kebangsaan.

“Hampir 100 hari dan setakat ini kita belum melihat sebarang perkembangan mahupun penangkapan suspek. Polis perlu bersikap telus dan mendedahkan status terkini siasatan tersebut.

“Kita harap polis percepat (siasatan) dan menghadapkan pesalah ke muka pengadilan,” katanya pada 11 Mei lantaran bimbang kejadian sedemikian berulang kepada ahli sukan lain.

Sebagai tanda kebersamaan terhadap Faisal, beberapa papan iklan besar tertulis ‘Stand with Faisal Halim, Stop The Violence’ dipasang sekitar negeri ini. Peminat bola sepak termasuk di luar Selangor juga berbuat demikian di lokasi lain.

Insiden tersebut juga menarik perhatian pemain Manchester United iaitu Alejandro Garnacho dan Andre Onana yang menitipkan kata-kata perangsang kepada pemain berusia 26 tahun itu pada 11 Mei.

Akibat kes itu, Selangor FC mengambil keputusan menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual pada 10 Mei, lima hari selepas Faisal dianiaya.

Sebaliknya, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada 25 Julai mendenda RM100,000 dan memotong tiga mata Selangor FC dalam Liga Super selain diarah membayar pampasan kepada JDT. Malah, perlawanan menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dibuat tanpa penonton.

Keputusan tersebut hingga mengundang kemarahan penyokong Selangor FC, bahkan mengundang kemurkaan Sultan Selangor yang menyifatkan keputusan itu “tidak masuk akal dan berlebihan”.

Pada 27 Jun, MFL kemudian membatal dan meminda beberapa hukuman terhadap Selangor FC termasuk mengurangkan denda kepada RM60,000.

Paparan iklan *Stand with Faisal Halim stop the violence* di papan iklan elektronik MBSA di sekitar Shah Alam pada 14 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pelbagai pihak termasuk wakil rakyat menawarkan derma bagi meringankan bebanan kelab. Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor turut melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC yang mengumpul dana RM76,490.06 daripada pencinta bola sepak. Kelab itu juga mahu membawa kes hukuman MFL itu ke peringkat mahkamah timbang tara sukan.

Dalam persidangan Dewan Negeri Selangor pada 11 Julai, wakil rakyat kerajaan dan pembangkang bersatu hati mengutuk kejadian yang menimpa Faisal yang disifatkan melampau seterusnya mendesak siasatan menyeluruh dijalankan seberapa segera melalui usul tergempar.

Usul yang dibawa Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Salimmi Che Azmi dan diluluskan Speaker Lau Weng San turut menghantar surat kepada polis meminta tangkapan segera pelaku simbah asid Faisal.

Meski ada tangkapan sebelum kedua-dua individu dibebaskan, edaran fotofit dan keterangan 12 individu seperti yang dinyatakan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada 11 Mei, dalang atau pelaku sebenar sehingga kini belum diketahui.

 


Pengarang :