EXCOSELANGOR

EXCO: Dana RM35,000 taja pengajian gender, gilap kebolehan pemimpin wanita

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM35,000 bagi program biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan pengkhususan Kursus Pengajian Gender peringkat doktor falsafah (PhD).

EXCO pembangunan wanita berkata  tawaran sehingga 31 Ogos itu terbuka kepada alumni Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) berusia 21 hingga 55 tahun dan warganegara Malaysia berusia 21 hingga 45 tahun.

Jelas Anfaal Saari, sebanyak 10 permohonan untuk kelayakan ke peringkat temu duga dan satu kuota diperuntuk untuk tajaan pengajian itu.

“Menyambung pengajian ke peringkat PhD dalam bidang Pengajian Gender bukan sahaja meluaskan peluang kerjaya tetapi menjadi agen perubahan yang berupaya memberi impak positif kepada masyarakat.

“Graduan PhD dalam Pengajian Gender mempunyai peluang menceburi pelbagai bidang termasuk akademik, penyelidikan, kerja sosial, perundingan dasar, organisasi bukan kerajaan (NGO), sektor awam dan swasta.

“Keahlian dalam isu gender semakin dihargai di pelbagai industri yang memerlukan kepakaran dalam memahami isu kesaksamaan dan keadilan sosial,” katanya kepada Selangorkini.

Anfaal menambah kursus berkenaan menepati keperluan semasa dan penting kepada pembangunan masa depan negeri khususnya untuk mencapai Dasar Wanita Selangor dan selain penting kepada negara.

“Ia juga mempunyai kaitan sangat rapat dengan Matlamat Pembangunan Lestari ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pengajian Gender membantu memahami, menganalisis dan menyelesaikan isu berkaitan ketidaksamaan gender, hak asasi manusia dan keadilan sosial yang mana kesemua ini adalah elemen penting dalam mencapai SDG.

“Justeru kursus ini adalah kritikal dalam menyokong dan memajukan banyak matlamat pembangunan lestari kerana melalui kajian gender, pelajar dan profesional dapat membangunkan penyelesaian inklusif dan berkesan untuk mencapai kesaksamaan gender dan keadilan sosial yang merupakan asas kepada pembangunan lestari,” katanya.

Ia merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam usaha melaksanakan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PPSH) melalui WBS sebagai agensi pelaksana.


Pengarang :