Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad
AGENDANASIONAL

Jais: Tauliah mengajar Ustaz Don Daniyal ditarik balik

SHAH ALAM, 13 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan tauliah mengajar yang diberikan kepada penceramah bebas Ustaz Don Daniyal Bon Bijayid ditarik balik.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 24 Julai.

“Keputusan penarikan tauliah mengajar Don Daniyal dibuat berdasarkan kuasa jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan menambah, surat penarikan berkenaan dikeluarkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Mais pada 31 Julai lepas.

“Don Daniyal diberikan tempoh 14 hari untuk merayu berkuatkuasa daripada surat penarikan tauliah diterima,” katanya.

Pada 25 Jun lepas, Jais mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musala bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Don Daniyal untuk mengajar apa-apa perkara tentang agama Islam di premis masing-masing.

Arahan itu dikeluarkan berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.


Pengarang :