Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dan Bertrand Rhodict Lises tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Ogos 2024 selepas menyertai Sukan Olimpik Paris 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

Nur Dhabitah mahu berehat sementara, Bertrand kutip pengalaman di Paris

SEPANG, 13 OGOS: Penerjun berpengalaman wanita negara, Nur Dhabitah Sabri mahu berehat sementara waktu sebelum memikirkan soal masa depan penglibatan dalam sukan itu selepas mengharungi pelbagai cabaran termasuk persediaan singkat ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Penerjun berusia 25 tahun itu berkata beliau perlu ‘reset’ sebelum mengatur perancangan jangka panjang dan percaya beliau masih boleh menyumbang menerusi program dan latihan betul.

“Saya belum pasti lagi dan perlu memikirkan semula (reset) diri saya. Saya ada rancangan dan belum ada keputusan lagi…saya nak berehat dulu.

Ditanya tempoh rehat diperlukan, katanya beliau tidak dapat pastikan.

“Itu saya tak boleh cakap…bergantung kepada keadaan mental… bagaimana nak dapatkan kembali dan nak cari jiwa itu semula,” katanya kepada media selepas tiba bersama rakan seperjuangan Bertrand Rhodict Lises di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Nur Dhabitah menegaskan beliau masih mencintai sukan itu.

Beliau yang memperoleh tiket ke Paris 2024 menerusi lebihan kuota tidak digunakan atlet negara lain, menamatkan acara final 3 meter (m) papan anjal individu di tempat terakhir daripada 12 peserta, Jumaat lalu.

Sementara itu, Bertrand menyifatkan penampilan sulung di pentas Olimpik sebagai pembuka mata dan pengalaman berguna dalam membantu mencari tujuannya dalam sukan itu.

Menurutnya, sebelum itu beliau merasakan hilang arah tujuan tetapi kini telah memperbaharui keyakinannya susulan pengalaman bertanding dan menghadiri latihan pusat di London menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

Penerjun berusia 19 tahun itu terkandas di pusingan awal acara 10 meter (m) platform individu lelaki di tempat ke-25 dalam kalangan 26 peserta dengan 313.70 mata keseluruhan.

– BERNAMA


Pengarang :