Atlet berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menitiskan air mata ketika ditemui media sebaik tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Ogos 2024 selepas menyertai Sukan Olimpik Paris 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

Azizulhasni perlu masa, bincang bersama keluarga sebelum buat keputusan

SEPANG,13 OGOS: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memerlukan masa untuk mempertimbang semula sama ada meneruskan kariernya sebagai pelumba dan beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) ataupun bersara.

Pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu berkata beliau perlu berbincang dengan keluarganya sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Katanya, jurulatihnya John Beasley dan rakan sepasukan ada memujuknya untuk terus beraksi pada LA28 namun beliau belum lagi membuat sebarang keputusan.

“Selepas perlumbaan (di Sukan Olimpik Paris) John dan Shah (Muhammad Shah Firdaus Sahrom) serta pasukan harap saya boleh pertimbang untuk beraksi pada (Sukan Olimpik) Los Angeles 2028, tapi saya perlu duduk bersama keluarga dan melapangkan fikiran saya.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (lima,kanan) bersama atlet berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang (empat,kiri), Muhammad Shah Firdaus Sahrom (dua,kanan) dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (tiga,kiri) sebaik tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2024 selepas penyertaan di Sukan Olimpik Paris 2024. Foto BERNAMA

“Sebab apa yang berlaku di Paris adalah sesuatu yang tak biasa dalam karier saya tapi pada saya mereka tahu kalau saya berhenti berlumba saya akan tetap aktif dalam sukan, paling penting kalau mereka perlu bantuan saya, saya akan bantu,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa Program Road To Gold (RTG) menyokong apa sahaja keputusan yang akan dibuat pelumba berusia 36 tahun itu dan tetap menyokong keperluannya.

Azizulhasni terpaksa menamatkan saingan di Sukan Olimpik Paris 2024 seawal pusingan pertama acara keirin lelaki selepas penyertaannya dibatalkan kerana tindakannya memotong pacer di Velodrom Quentin-en-Yvelines, Sabtu lalu.

– BERNAMA


Pengarang :