Orang mengunjungi Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 25 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program Madani zon selatan bermula esok, pamer setahun pencapaian ekonomi

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Program MADANI Rakyat (PMR) Zon Selatan yang akan membuka tirainya esok di bumi Johor Darul Ta’zim bakal menjadi platform terbaik bagi rakyat untuk menilai dan melihat sendiri prestasi serta pencapaian Ekonomi MADANI sejak setahun ia dilancarkan pada Julai tahun lepas.

Bertempat di Dataran UTM, Skudai, Johor Bahru, program tiga hari berkenaan merupakan ruang bagi kerajaan memaklumkan dan menguar-uarkan pencapaian dan manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif serta komitmen berterusan dalam memperkasa rakyat, usahawan dan industri.

Tumpuan kali ini pastinya terarah pada acara kemuncak iaitu Majlis Perasmian Penutup pada 17 Ogos yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia disusuli Forum Setahun Pencapaian Ekonomi MADANI yang akan dihadiri Perdana Menteri, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang akan mengupas mengenai pencapaian kerangka ekonomi itu setakat ini.

Kerangka Ekonomi MADANI dilancarkan pada 27 Julai 2023, iaitu kerangka ekonomi baharu Malaysia yang bertujuan mengangkat semula darjat dan martabat negara dengan menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Program MADANI ini akan memberi tumpuan kepada lapan program utama, antaranya Ekonomi MADANI, kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan, karnival kerjaya serta pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Menerusi 34 reruai kementerian serta agensi kerajaan dan negeri, sebanyak 175 perkhidmatan langsung akan tersedia pada program berkenaan khusus untuk rakyat terutamanya di zon selatan yang meliputi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Seperti kelaziman PMR yang diadakan di zon utara, pantai timur dan tengah, program pembayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia pada kadar hingga 50 peratus serta penukaran topi keledar dan al-Quran lama tetap diteruskan untuk edisi PMR Zon Selatan kali ini.

Selain itu, Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa bagi barangan keperluan harian turut disediakan untuk pengunjung melibatkan 136 usahawan meliputi segmen jualan seperti Jualan Rahmah, Agro dan Koperasi, Usahawan, Santapan Selatan serta Food Truck.

Orang ramai juga boleh mengambil peluang untuk menyertai aktiviti luar seperti perkhidmatan kesihatan, pengagihan benih pokok, padanan perniagaan, zoo haiwan jinak, aktiviti menaiki kuda, pertandingan memancing, pertandingan e-sukan, pertandingan kereta kawalan jauh (RC) serta fun run lima kilometer.

Selain berpeluang membuat cabutan bertuah di reruai kementerian, pengunjung juga boleh melihat sendiri demonstrasi kraf, persembahan kebudayaan, pameran aset kerajaan daripada empat agensi, selain 2,125 kekosongan jawatan membabitkan 21 majikan menerusi Karnival Kerjaya MyFuture Jobs.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor.

Ia merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2023.

Program ini diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami dan menilai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan MADANI.

— BERNAMA


Pengarang :