AGENDAJENAYAH

Suspek kes bakar rumah, bunuh tiga sekeluarga direman tujuh hari

MUAR, 14 OGOS: Suspek utama kes bunuh tiga sekeluarga termasuk ibu bapanya dan bertindak membakar rumah mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh Jumaat lalu, direman tujuh hari bermula hari ini.

Menurut sumber polis, perintah tahanan reman hingga 20 Ogos terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar kira-kira 9.13 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.

Difahamkan lelaki itu ditahan ketika merayau-rayau di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur 1 pagi tadi hasil maklumat orang ramai.

Penahanan suspek yang masih bujang itu dilakukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.

Terdahulu, suspek dikatakan bertindak melarikan diri dengan menggunakan motosikal sebelum meninggalkan motosikal itu di Hentian Bas Bentayan di sini kemudian menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 1.30 pagi Jumaat lalu, pasangan warga emas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isteri Ara Abdul Hamid, 76, serta cucu Noradriana Nor Hisyam, 11, maut selepas kediaman mereka terbakar.

Kejadian itu juga mengakibatkan seorang lagi cucu pasangan itu berusia 14 tahun cedera dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Noradriana selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, manakala jenazah Mohamed Nor dan Ara belum boleh dituntut sehingga keputusan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan.

Polis pada awalnya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut sebelum mendapati terdapat unsur jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :