EXCO Industri Halal Dr Fahmi Ngah dan delegasi ketika menghadiri Persidangan Techno Frontier 2024 di Jepun pada Julai 2024. Foto Facebook Dr Fahmi Ngah
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jepun minat belajar ekosistem halal dengan Selangor

SHAH ALAM, 16 OGOS: Selangor dijemput berkongsi kepakaran berkaitan ekosistem industri halal terutama pengurusan perkhidmatan logistik dan pensijilan halal di Nagoya, Jepun bulan depan.

EXCO Industri Halal Dr Fahmi Ngah berkata Jepun berminat mengikuti latihan bidang itu dengan Selangor memandangkan ekosistem halal di negeri ini dan Malaysia lebih terkehadapan.

“Jadi September ini wakil daripada Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd akan ke Jepun untuk beri latihan, mengajar banyak perkara berkait ekosistem halal terutama perkhidmatan logistik.

“Ia merupakan satu syarikat perunding yang besar di Jepun. Jadi kita ambil peluang ini luaskan rangkaian berkongsi mengenai ekosistem halal, proses pensijilan dan sebagainya kerana standard halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memang diiktiraf dunia,” katanya kepada Selangorkini.

Fahmi menambah, perkembangan itu antara hasil lawatan kerja beliau dan delegasi ke Jepun Julai lalu bagi menghadiri Persidangan Techno Frontier 2024 iaitu persidangan terbesar di Jepun yang mempamerkan teknoloji perkakasan automasi pengilangan terbesar di Jepun.

“Saya juga sempat bertemu beberapa badan pentauliahan halal di Jepun dan mempelawa mereka ke persidangan Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2024 di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang giat mempromosi Selhac 2024 termasuk ke Vietnam bulan depan dan Turki pada Oktober bagi menarik penyertaan agensi luar negara dalam persidangan itu.

“Promosi tidak hanya tertumpu di negara Asia Tenggara saja tetapi turut meliputi negara lain dalam usaha menarik lebih banyak penyertaan,” katanya.

Sebelum ini, Fahmi berkata Selhac 2024 yang dijadual berlangsung 16 hingga 19 Oktober ini menyasar padanan perniagaan berjumlah RM61 juta, meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu.

Sebanyak 150 syarikat disasar menyertai program itu yang dianjur sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan edisi ketiga Selhac bertemakan Merancakkan Ekosistem Halal.


Pengarang :