Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penjawat awam pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, Putrajaya pada 29 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM umum sistem saraan baharu perkhidmatan awam

SHAH ALAM, 16 OGOS: Skim Saraan Malaysia (SSM) diganti dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengumumkan perkara itu di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 dekat Putrajaya hari ini, perdana menteri berkata ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam.

“Walaupun gesaan saya mesti capai kemajuan tapi tahap pengorbanan penjawat awam ini luar biasa. Bukan sahaja dalam menghadapi ancaman komunis dahulu (tetapi juga) menangani Covid-19.

“Jangan lupa petugas barisan hadapan itu adalah penjawat awam, jadi kerajaan setuju supaya SSM digantikan dengan SSPA,” katanya.

Anwar berkata pelaksanaan SSPA yang mengandungi roh dan semangat perkhidmatan awam bertujuan meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam selain meningkatkan kesediaan kelompok berkenaan serta meningkatkan daya saing negara.

Beliau menjelaskan pelaksanaannya bukan hanya untuk peningkatan pendapatan semata sebaliknya merupakan sistem saraan berteraskan prestasi.

“Siapa yang cemerlang, akan dapat ganjaran, siapa gagal mempamer prestasi yang baik, akan dikenakan tindakan.

“Sebagaimana saya selalu tegaskan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan layanan sama kepada semua terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan.

“Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan ketua jabatan tidak akan diberikan ganjaran,” katanya.

Melalui SSAP, kerajaan juga bersetuju mengoptima sumber dan peningkatan produktiviti dengan:

i. meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara

ii. beban dan kompleksiti tugas sedia ada akan ditingkatkan bagi menggalakkan penugasan berbilang (multitasking) dan kemahiran berbilang (multiskilling)

iii. skim perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain.

iv. menyeragam dan mengkelaskan semula gred jawatan secara menyeluruh berdasarkan keperluan semasa Perkhidmatan Awam.

v. meminda syarat lantikan bagi 17 skim perkhidmatan bagi memperoleh bakat terbaik berkhidmat di dalam perkhidmatan awam selari evolusi teknologi dan dasar pendidikan semasa.

vii. audit perjawatan menyeluruh bagi mengenal pasti ketidakseimbangan perjawatan yang mungkin berlaku di seluruh kementerian dan agensi serta tindakan penyelarasan untuk memastikan beban tugas adil

viii. Kerajaan juga akan melaksanakan Rasionalisasi Pejabat-Pejabat Perwakilan dan Wakil Agensi Kerajaan Malaysia di Luar Negeri berkuat kuasa pada 1 Januari 2025


Pengarang :