Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 1 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar saran sektor swasta teliti skim gaji pekerja, beri imbuhan munasabah

PUTRAJAYA, 16 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap sektor swasta terutama syarikat yang mencatatkan keuntungan tinggi supaya meneliti semula skim gaji mereka bagi memberikan imbuhan yang lebih munasabah kepada pekerja-pekerja.

Beliau berkata reformasi gaji perkhidmatan awam adalah mesej kepada syarikat swasta supaya dapat menaikkan gaji pekerja agar tekanan kos hidup mereka dapat dikurangkan.

Perdana Menteri berkata sektor swasta juga perlu mengambil kira gaji minimum penjawat awam yang melebih RM2,000.

“Saya harap sektor swasta akan meneliti semula (gaji) supaya tekanan kepada rakyat, golongan pekerja itu dapat dikurangkan, dengan ada skim kenaikan gaji yang lebih munasabah, terutama syarikat-syarikat yang mencatat keuntungan besar. Tak ada sebab kenapa gaji kurang daripada RM2,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI’, di sini hari ini.

Anwar berkata kenaikan gaji penjawat awam adalah untuk memberi pengiktirafan kepada mereka bukan hanya atas khidmat, tetapi prestasi penjawat awam harus diperbaiki dan dipertingkat.

Beliau berkata kenaikan gaji itu dilakukan melalui transformasi yang radikal dan peralihan yang besar memandangkan ia melibatkan soal kebertanggungjawaban, dan kenaikan itu melibatkan prestasi, bukannya time-based semata-mata.

— BERNAMA


Pengarang :