AGENDAJENAYAH

Pemain bola sepak tular tunjuk kerambit dipenjara 14 hari

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Seorang pemain bola sepak amatur yang gambarnya membawa kerambit tular di media sosial, dipenjara 14 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menunjukkan senjata tajam itu dalam perlawanan bola sepak, dua minggu lepas.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nur Iman Shafie Mohd Sulin, 22, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Lelaki itu didakwa menunjukkan sebilah kerambit yang mana perbuatan itu dilakukan dengan gopoh sehingga membahayakan keselamatan orang lain di Pusat Bola Sepak KLFA, Desa Melawati di sini, pada 12.45 tengah malam, 4 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

Peguam Muhammad Syawal Mohd Razak mewakili tertuduh bagaimanapun memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya hanya membantu ibu bapanya menjual nasi lemak secara kecil-kecilan, selain bapanya kerap sakit dada serta batuk manakala ibunya mempunyai darah tinggi, sakit lutut dan mempunyai batu hempedu yang perlu mendapatkan rawatan seminggu sekali di Hospital Selayang.

“Tertuduh memohon maaf dan telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. Tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan wajar diberikan peluang kedua untuk memperbaiki diri,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang memakai jersi nombor tujuh menunjukkan senjata itu di padang pusat bola sepak berkenaan.

Dia dikesan membawa kerambit ke padang ketika berlaku perselisihan faham dalam perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA pada 4 Ogos lepas, selepas gambar kejadian itu kemudiannya tular di media sosial.

Di hadapan hakim sama, Muhammad Nur Iman Shafie mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama empat lagi yang telah dituduh membaling empat botol yang telah dinyalakan dengan api ke sebuah kelab hiburan di Jalan Yap Kwap Seng, di sini, sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kelab itu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda.

Nidzuwan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Haziq Aizuddin Subhi yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya membantu keluarga selain telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Norina membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Sept ini untuk serahan dokumen.

-BERNAMA


Pengarang :