EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi bergambar bersama peserta latihan pengendalian bot dan keyakinan dalam air di Empangan Batu, Sungai Tua, Gombak pada 18 November 2023. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri siap sedia hadapi tengkujuh, kenal pasti lokasi berisiko banjir

SHAH ALAM, 17 OGOS: Selangor membuat persiapan awal menghadapi musim tengkujuh dijangka November ini dengan semua jentera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri telah mengenal pasti lokasi titik panas dan berisiko banjir di seluruh Selangor.

“Kawasan titik panas yang dipantau adalah Hulu Langat yang sentiasa menjadi sasaran untuk menghadapi banjir. Selain itu di Sungai Buloh turut berada di bawah pengawasan rapi.

“Unit Pengurusan Bencana Selangor telah turun ke setiap daerah untuk mengenal pasti setiap isu dan masalah dalam membuat persiapan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Najwan menambah kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mengadakan simulasi terutamanya kawasan yang dikenal pasti berisiko menghadapi banjir kilat.

“PBT yang terlibat membuat latihan simulasi bersama agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor.

“Manakala setiap EXCO, Ahli Dewan Negeri (ADN) dan penyelaras turut diberikan peranan masing-masing untuk memantau sekiranya berlaku bencana,” jelasnya.


Pengarang :