Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (duduk, kanan) melihat silibus pembelajaran bersama murid tahun tiga, Farah Ain Natalia Mohd Fauzi (tiga,kanan) ketika melawat Sekolah Kebangsaan Chepor, Ipoh pada 17 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelan 3PBI mantapkan penguasaan bahasa Inggeris murid

PUTRAJAYA, 17 OGOS: Pelan Pemerkasaan Pendidikan Bahasa Inggeris (3PBI) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) mampu memperkukuh pendidikan bahasa Inggeris bagi menyokong pendidikan manusiawi demi pembentukan generasi MADANI.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas berkata hasrat itu dapat dizahirkan dengan peningkatan kecemerlangan murid dalam bahasa Inggeris melalui pengukuhan komunikasi lisan serta kemahiran bacaan aras tinggi.

Beliau berkata 3PBI juga berhasrat untuk meningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris melalui kursus peningkatan profesionalisme bahasa Inggeris dan kursus kemahiran khusus.

Katanya hasrat itu juga akan dicapai melalui pembangunan keupayaan penggunaan teknologi pengajaran dan pembelajaran, serta sumber bahan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran bahasa Inggeris.

“KPM yakin pelan 3PBI dapat memastikan momentum proses transformasi pendidikan bahasa Inggeris yang dimulakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia sejak 2013 dapat terus dilestarikan secara berfokus dan sistematik,” katanya dalam temu bual di sini hari ini.

Zainal berkata pelan 3PBI itu merupakan pelengkap dan penyambung kepada program bahasa Inggeris yang sedang dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Roadmap Bahasa Inggeris 2015-2025.

Beliau berkata pelan 3PBI bertujuan memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan meningkatkan kecemerlangan mereka dalam bahasa Inggeris melalui pengukuhan komunikasi lisan serta kemahiran bacaan aras tinggi, sekali gus mengatasi masalah keciciran murid dalam literasi.

Menurutnya keupayaan dwibahasa dalam abad ke-21 amat penting bagi murid memandangkan mereka akan terdedah bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara, sama ada untuk menceburi bidang pekerjaan atau melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

“Dwibahasa membantu murid meningkatkan keupayaan diri dan memberi kelebihan kepada mereka apabila meceburi bidang pekerjaan dan melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi,” katanya

Pelan 3PBI adalah satu inisiatif di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Inisiatif ini bertujuan menyambut aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan guru sekali gus meningkatkan kualiti bahasa Inggeris secara keseluruhan.

Pelan 3PBI merupakan satu prakarsa yang turut menyokong tiga Teras Nadi Keunggulan KPM, iaitu Teras 2 yang menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak, dan integriti; Teras 4 yang memberi perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi, selain merapatkan kesenjangan pendidikan; dan Teras 7 yang bertujuan meningkatkan keupayaan pendidikan digital di sekolah.

Zainal berkata untuk mencapai objektif 3PBI, KPM melaksanakan beberapa program bahasa Inggeris yang menyasarkan murid dan guru antaranya program peningkatkan kualiti guru bahasa Inggeris iaitu Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT) Enhance.

Program lain termasuk program peningkatan kemahiran lisan bahasa Inggeris (membaca dan bertutur) dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah iaitu Maximising Highly Immersive Porgramme (HIPMax); Chat in English (CiE) serta Malaysian Folklore Story Fest (MFS); dan program peningkatan kemahiran bacaan secara kritis iaitu Critical Reading Strategy (CRS) serta program peningkatan kemahiran lisan (membaca dan bertutur) dalam kalangan murid TVET iaitu Program Oral Communication.

Menyentuh tentang HIPMax, Zainal berkata ia merupakan peluasan program HIP yang telah mula dilaksanakan di semua sekolah bawah KPM sejak 2016 yang bertujuan meningkatkan keyakinan dan kebolehan murid dalam komunikasi lisan bahasa Inggeris melalui aktiviti Chat in English (CiE) dan Malaysian Folklore (MFS).

Beliau berkata aktiviti CiE merupakan program bahasa Inggeris yang dilaksanakan sebagai komponen luar kelas, yang memberi peluang kepada semua murid sekolah rendah dan menengah untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti bahasa Inggeris menerusi persekitaran yang memberangsangkan.

“Sekolah dibekalkan dengan kit pemula aktiviti kemahiran lisan yang merangkumi pelbagai aktiviti bahasa Inggeris yang dapat disesuaikan dengan tahap kemahiran murid. Murid melaksanakan aktiviti bahasa Inggeris dalam keadaaan santai dan disokong oleh guru,” katanya.

Zainal berkata aktiviti Malaysian Folklore StoryFest (MFS) berfokus kepada pembentukan karakter melalui penghayatan dan pembacaan karya sastera cerita rakyat Malaysia, di samping memberi peluang kepada murid untuk menggunakan bahasa Inggeris dengan lebih meluas dalam konteks yang pelbagai.

MFS merupakan aktiviti tahunan yang ditawarkan kepada institusi pendidikan rendah dan menengah KPM yang terpilih dan input akan diberi melalui 16 jam sesi perbengkelan secara dalam talian dan beberapa sesi secara bersemuka bagi zon yang dikenal pasti mengikut keperluan dan kesesuaian.

Critical Reading Strategy (CRS) bertujuan meningkatkan kompetensi murid dalam literasi bacaan aras tinggi bagi bahasa Inggeris, menyediakan bahan sokongan PdP untuk literasi bacaan aras tinggi bagi bahasa Inggeris dan membangunkan program bacaan bahasa Inggeris menyeluruh untuk murid prasekolah hingga ke sekolah menengah.

“CRS menyasarkan murid prasekolah, murid sekolah rendah, murid sekolah menengah, serta guru praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan sebagai sebahagian daripada pelan peluasan.

“Sebagai pelan jangka pendek, CRS juga menyasarkan kepada pelajar Tingkatan 3 (sesi persekolahan 2024 – 2025),” ujarnya.

Program Oral Communication (OC) memberi tumpuan kepada kemahiran komunikasi dalam kalangan murid TVET. Matlamat program OC adalah bagi meningkatkan penguasaan kemahiran bertutur murid TVET untuk tujuan kebolehpasaran graduan.

Dalam program ini, modul pembelajaran penguasaan kemahiran komunikasi bahasa Inggeris disediakan yang menggalakkan penggunaan teknologi dalam bentuk alatan digital bagi membolehkan murid melaksanakan aktiviti lisan berdasarkan konsep gamification of learning.

– BERNAMA

 


Pengarang :