Penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Putrajaya pada 16 Ogos 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

SPA jangka lebih ramai golongan muda sertai sektor awam

IPOH, 17 OGOS: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan dapat menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor awam susulan pengumuman mengenai pelarasan gaji penjawat awam yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula Disember ini.

Pengerusi SPA Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata hal ini kerana kenaikan gaji penjawat awam dapat memberi suntikan semangat kepada golongan muda, terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan siswazah kerana diyakini lebih terjamin dari segi elemen sekuriti dalam perkhidmatan awam.

“Saya yakin akan ada tambahan sehingga beratus ribu dalam permohonan (SPA), cuma dari segi data permohonan kita akan memperolehnya pada suku pertama tahun depan.

“Jadi, kita sentiasa bersiap siaga untuk menerima seberapa banyak permohonan dan kita akan meningkatkan lagi kemudahan (permohonan menerusi portal dalam talian),” katanya ketika ditemui pemberita bersempena dengan Program Hari Terbuka SPA @ Perak 2024 di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Jailani turut menasihati pemohon supaya sentiasa berhati-hati semasa membuat permohonan SPA agar tidak tertipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita nasihatkan kepada semua kumpulan sasar supaya mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan Job Scam,” kata Ahmad Jailani.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024 di Putrajaya, mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

– BERNAMA


Pengarang :