Orang ramai mengunjungi Karnival Kerjaya Jobcare Selangor 2024 untuk mencari peluang pekerjaan di Dewan Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, Ampang pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS sumbang RM700 kepada 150 asnaf, bantu mulakan kerjaya

AMPANG, 17 OGOS: Seramai 150 asnaf berdaftar yang berjaya mendapat pekerjaan menerima bantuan permulaan kerja sebanyak RM700, kata Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Eksekutif pembangunan insan dan ekonominya berkata menerusi Insentif Permulaan Pekerjaan Asnaf Selangor (IPPAS), asnaf dapat membeli keperluan seperti baju dan kasut.

“Setakat ini 150 asnaf sudah menerima sumbangan ini. Kita tidak mahu mereka terbeban dalam menyediakan keperluan untuk memulakan kerja,” kata Zeenat Karim ketika ditemui pada Karnival Jelajah JobCare Hulu Langat di sini hari ini.

Zeenat Karim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bermula Januari, LZS menyedia insentif berkenaan dan permohonan dibuka sehingga 30 Disember ini menerusi pautan https://bit.ly/INSENTIFPERMULAANPEKERJAANASNAFSELANGOR-IPPAS-LZS

Pemohon perlu melampirkan dokumen sokongan seperti kad pengenalan, kad pengenalan ketua keluarga, surat tawaran bekerja, surat pengesahan bekerja dan penyata akaun.

Untuk maklumat lanjut hubungi talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau layari media sosial dan laman sesawang rasmi LZS.


Pengarang :