Aksi atlet golf Sarawak memulakan kempen sukan golf pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024. Foto Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS
AGENDASUKANKINI

SUKMA 2024: Atlet golf Selangor rampas pendahulu, Sarawak kekal

KUCHING, 17 OGOS: Pemain Selangor, Muhammad Ajmal Amin Mohd Fajri beraksi cemerlang pada pusingan kedua acara golf individu lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 untuk merampas kedudukan pendahulu hari ini.

Beliau mengatasi Anson Yeo Boon Xiang dari Sarawak dengan perbezaan dua pukulan di Kelab Golf Sarawak.

Pemain berusia 17 tahun itu melakukan satu eagle pada par lima lubang kelima dan tujuh birdie (lubang 1, 6, 8, 9, 10, 12, 17) untuk menamatkan pusingan hari ini dengan sembilan bawah par 63 sekali gus menduduki tempat teratas dengan tujuh bawah par 137 secara keseluruhan selepas 36 lubang.

Anson pula mencatatkan empat birdie (3, 6, 8, 13) untuk tamatkan pusingan hari ini dengan 68, sekali gus menduduki tempat kedua dengan lima bawah par 139, diikuti Aiden Tai John Robert dari Perak dengan pukulan keseluruhan satu atas par 145 menjelang pusingan terakhir, esok.

Anson menduduki tangga teratas pada pusingan pembukaan semalam, apabila melakukan satu bawah 71 untuk berkongsi kedudukan pertama bersama Muhammad Danial Muhammad Nazari dari Terengganu, manakala Muhammad Ajmal Amin sedikit tersasar dengan dua atas par 74 untuk terikat di kedudukan keenam dengan Andrew Yap dan Muhammad Azahari Amir.

Bagi acara individu wanita pula, Mirabel Ting dari Sarawak berjaya mempertahankan kedudukan pertamanya dengan pukulan keseluruhan lapan bawah par 136 walaupun melakukan dua bogey pada lubang keempat dan keenam hari ini.

Mirabel, 19, mencatatkan tujuh birdie (1, 2, 5, 7, 9, 13, 18)) untuk lima bawah par 67 pada hari ini, manakala pemain Wilayah Persekutuan, Ng Jing Xuen membuat satu bawah par 71 untuk markah keseluruhan par 144, diikuti Wang Xin Yao dari Perak dengan dua atas par 146.

Sementara itu, Selangor pula berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu acara berpasukan lelaki selepas meraih empat atas par 436, diikuti rapat Sarawak yang merekodkan 13 atas par 445.

Bagi acara berpasukan wanita, Perak mengatasi tuan rumah apabila mengumpul 20 atas par 452 manakala Sarawak berpuas hati di kedudukan kedua dengan 25 atas par 457 selepas dua pusingan.

Pemenang bagi acara berpasukan ditentukan menerusi markah dari tiga pemain terbaik daripada keputusan individu kontinjen masing-masing.

– BERNAMA


Pengarang :