AGENDAJENAYAH

Tukang tilik ditahan bantu siasatan kes rogol

PUTRAJAYA, 17 OGOS: Tukang tilik ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang wanita dalam kejadian di Puchong, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditahan 11.15 malam semalam di Puchong.

Wan Kamarul Azran berkata mangsa membuat laporan berhubung kejadian rogol membabitkan dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada 1.54 pagi Jumaat.

“Pengadu mengenali suspek melalui media sosial yang dipercayai boleh menilik nasib dan membuang nasib buruknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek direman lima hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini, mangsa berusia 24 tahun itu mendakwa menjadi mangsa rogol tukang tilik berkenaan sejak setahun lepas.

Wanita yang dikenali sebagai Linda berkata dia pada mulanya terpedaya dengan perkhidmatan ditawarkan lelaki itu menerusi iklan di media sosial bagi mengubah nasibnya.

– BERNAMA


Pengarang :