Penerjun Negara Datuk Pandalela Rinong dan atlet tinju Sarawak Daeloniel Mcdelon menyalakan obor SUKMA 2024 sebagai simbolik acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SUKMA 2024: Atlet Selangor sumbang tujuh pingat pada hari keempat

SHAH ALAM, 17 OGOS: Atlet Selangor menyumbang tujuh lagi pingat ketika Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 masuk hari keempat.

Bermula 14 Ogos lalu di Sarawak, pencapaian itu membabitkan satu pingat emas bagi acara Karate Kumite 55 kilogram (kg) wanita dibolot Srikah Ganesh.

Dua pingat perak pula bagi kategori sepak takraw lelaki berpasukan dan gimnastik berirama wanita berpasukan.

Gangsa pertama pula disumbang Jeevesh Bashkaran bagi acara Karate Kumite 55kg lelaki yang tamat petang tadi.

Tiga lagi gangsa disumbang pasukan menembak lelaki dan wanita. Trio Muhammad Afiq Azrief Khalil, Aniq Ammar Al-Syahmi Muhamad Hatta, Muhamad Amzar Afif Ezazu meraih gangsa acara menembak lelaki pistol standard 25 meter.

Trio wanita dibarisi Nur Balqis Hamizi, Nur Amirah Nabilah Khairus Safawi dan Nur Sakinah Nurain Abdul Rahman memenangi gangsa acara menembak wanita rifle 50 meter tiga posisi.

Nur Balqis Hamizi berjaya mendapat gangsa kedua menerusi acara menembak wanita rifle 50 meter tiga posisi.

Pertunjukan bunga api ketika kemuncak acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR

Sementara itu acara bola keranjang wanita, pusingan dalam kumpulan X menyaksikan mereka membenam Sabah dengan mata 91-27.

Bola keranjang lelaki turut melangkah hebat apabila mengalahkan Melaka dengan mata 79-68 bagi pusingan awal Kumpulan A.

Kedua-dua pasukan itu dijadual bertemu Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada petang esok.

Di samping itu pasukan kriket lelaki Selangor mara ke peringkat separuh akhir saingan T20 selepas menutup aksi liga sepusingan dengan kemenangan.

Pada aksi di Padang Kriket & Ragbi Petra Jaya di sini, Selangor tidak berdepan masalah menundukkan Sabah dengan kelebihan lapan wiket.

Selangor akan bertemu Kelantan di pentas separuh akhir esok.

Turut melangkah ke separuh akhir esok adalah lima atlet Muaythai Selangor.

Mereka, Muhamad Ridzuan Makueta bagi kategori 45-48 kilogram (kg), diikuti Muhammad Nur Ikhwan Ghazali (48-51kg), Sharil Aiman Abu Hanipah (54-57kg), Saafuan Shah Roslan (57-60kg) dan Arysh Shaddad Ubaidillah @ Nasri (63.5-67kg).

Pada hari sama, Selangor meletakkan harapan pada pemain petanque Mohd Ayzek Hakimi untuk terus mengekalkan pingat emas SUKMA 2022 bagi acara shooting lelaki.

Turut disasar, emas bagi acara golf berpasukan lelaki yang dijadual bermula jam 3 petang.

Pada SUKMA kali ini, kontinjen Selangor meletakkan sasaran untuk meraih 61 pingat emas sekali gus menempatkan negeri itu dalam kelompok tiga teratas.

Setakat 12 tengah malam, Selangor mengutip empat emas, tujuh perak dan empat gangsa.

Pegawai kontinjen menbawa bendera Sukan Malaysia pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR

Pengarang :