Penyokong Selangor menyaksikan perlawanan bola sepak di antara Selangor dan Singapura Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Penyokong yakin Selangor FC mampu beri kejutan, rangkul Piala FA

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Penyokong pasukan Selangor FC menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan gergasi Merah Kuning untuk meraih gelaran juara Piala FA apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Ogos ini.

Peminat Danish Fikri Azrul Azmi, 22, percaya skuad kendalian Nidzam Jamil mampu memberi saingan sengit buat JDT pada aksi akhir itu nanti.

“Selangor dalam prestasi terbaik dalam kejohanan Liga Super dan Piala FA sejak kebelakangan ini. Saya ramal Selangor FC menang 2-1 dengan harapan penyerang baru Ali Olwan diturunkan membantu jaring gol,” katanya.

Danish Fikri Azrul Azmi

 

Beliau antara peminat yang ditemui pada perlawanan Piala Sultan Selangor (TSSC) antara Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura di Stadium Merdeka, di sini malam tadi.

Bagi Junaidi Zainuddin, 46, beliau melihat Selangor mampu mencipta kejutan walaupun JDT dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan itu nanti.

“Saya tetap meletakkan peluang buat kedua-dua pasukan adalah 50-50 pada final nanti. Saya jangka Selangor FC menang 2-1 hasil jaringan Safuwan Baharudin dan Yohandry Orozco,” ujarnya.

Seorang lagi peminat, Fadila Ahmad, 58, berpandangan pemain-pemain Red Giants bakal turun dengan membawa semangat Faisal Halim ke ‘medan perang’ aksi akhir itu bagi memburu kemenangan untuk dihadiahkan kepada Faisal.

“Selangor FC juga sudah lama tidak memenangi sebarang piala kejohanan besar, ini juga akan menyuntik motivasi pemain. Saya yakin menang 2-1,” kongsinya.

Fadila Ahmad

 

Penyokong Singapura, Mohamad Faris Mohamad Razak, 55, menyifatkan perlawanan itu membabitkan pertembungan dua pasukan terbaik negara di pentas akhir.

“Jadi sukar untuk diramal, pasukan mana yang akan bergelar juara. Namun, saya melihat perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.

“Saya juga berharap Selangor akan menang untuk Faisal Halim, beliau layak untuk memenangi piala,” katanya.

Seorang lagi peminat Singapura, Saiful Kasmuri, 55, menjangkakan kedua-dua pasukan akan terikat tanpa jaringan sepanjang tempoh 90 minit permainan.

“Perlawanan akan ditentukan melalui masa tambahan, gol kemenangan Selangor dijaringkan pemain kelahiran kami, Safuwan Baharuddin,” menurutnya.

Final Piala FA akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 malam.

Selangor FC menewaskan Terengganu FC dengan agregat 6-4 untuk melangkah ke perlawanan akhir manakala juara bertahan JDT mara ke final Piala FA selepas mengatasi Kedah Darul Aman (KDA FC) dengan agregat 5-1.


Pengarang :