Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (dua, kanan) melepaskan peserta Larian PJ Half Marathon di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Ogos 2024. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ edar 2,000 Jalur Gemilang percuma, semarak bulan kemerdekaan

PETALING JAYA, 18 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengedarkan kira-kira 2,000 Jalur Gemilang percuma kepada penduduk sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata edaran itu dilaksanakan menerusi setiap Ahli Majlis dalam usaha menggalakkan setiap premis memasang bendera Malaysia.

“Kita edar 2,000 bendera Malaysia percuma kepada semua Ahli Majlis dan mereka akan serahkan kepada penduduk di kawasan masing-masing. Ini bagi menggalakkan semua premis kibar Jalur Gemilang.

“Tahun ini juga kita ada 23 acara bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan, antaranya seperti pertandingan sajak dan pertandingan lagu patriotik,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah PJ Half Marathon edisi ke-34 di Laman MBPJ di sini, hari ini.

Mohamad Zahri menambah, MBSJ turut mengibarkan semula Jalur Gemilang gergasi di Menara MBPJ sejak minggu lalu bagi menyemarakkan semangat merdeka di Petaling Jaya.

“Ini sebagai tanda sokongan kita ke arah menyambut bulan kebangsaan tahun ini. Kawasan sekitar juga sudah mula pasang Jalur Gemilang, ini merupakan sesuatu yang baik,” katanya.

Pada 2022, MBPJ mengambil inisiatif mengibarkan dua Jalur Gemilang yang berukuran setinggi bangunan 10 tingkat sempena sambutan Hari Kebangsaan.


Pengarang :