BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Syafiq Kyle ikut latihan komando, menangis hayati skrip Lahad Datu

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

Demi menjayakan filem Takluk: Lahad Datu, pelakon Syafiq Kyle sanggup menerima latihan intensif 69 komando Polis Diraja Malaysia atau VAT69 selama seminggu di kem Ulu Kinta, Perak.

Dalam latihan itu, Syafiq atau nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak terpaksa berlari sehingga empat jam selain diajar cara menggunakan senjata dalam formasi Tempur Jarak Dekat (CQB).

Latihan bela diri khusus untuk anggota komando itu berat dan bersifat agresif. Ia diajar bagi membolehkan anak kelahiran Kuala Lumpur itu dapat membawa watak DSP Zambri dengan berkesan dalam karya berkenaan.

“Saya dan pelakon lain dilayan betul-betul macam budak baharu jadi komando. Latihan sangat agresif dan tegang. Ia sukar, tapi perlu demi memastikan kami mempunyai persediaan cukup,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem itu, baru-baru ini.

Cabaran melakonkan karya itu tidak terhenti situ. Seminggu selepas latihan intensif, Syafiq dan barisan kru filem ke lokasi pertempuran sebenar antara pasukan keselamatan dan pengganas Sulu yang berlaku 10 tahun lepas.

Pelakon drama rantaian Nur itu berkata, penggambaran dibuat di Kampung Air, Lahad Datu yang keadaannya kurang selesa. Kawasan pedalaman itu banyak sampah, tidak terurus dan kemudahannya daif. Cuaca kampung di tepi laut itu juga tidak menentu selain angin kuat.

“Jadi, latihan persediaan di kem banyak membantu untuk berhadapan dengan cabaran sepanjang penggambaran,” katanya.

Di sebalik ketidakselesaan itu, Syafiq merasakan dirinya bertuah apabila anggota polis sebenar terlibat krisis Lahad Datu turut menemaninya sepanjang dua bulan penggambaran di Sabah.

Penggambaran turut dijayakan anggota VAT69 yang pernah bertempur dengan pengganas Sulu, sekali gus memberi kelebihan kepada Syafiq menggerakkan wataknya selain menghayati babak dilakonkan.

Ketika berlakon bersama, artis berumur 32 tahun mengambil kesempatan menggeledah cerita belakang tabir yang hanya disimpan anggota komando, termasuklah kisah gugurnya 10 wira negara dalam insiden tersebut.

“Dalam filem, saya perlu beri arahan dan kata semangat di hadapan komando sebenar. Itu satu cabaran. Saya bersyukur kerana komando sangat baik dan tidak lokek memberikan sumbang saran untuk menjayakan watak.

“Saya juga dengar sendiri pendedahan dan pengalaman mereka semasa terjadinya krisis itu, tetapi tidak boleh kongsi kerana sensitif. Apa yang boleh saya katakan, semangat dan pengorbanan mereka penting kita bawa ke layar perak,” katanya.

Foto Instagram Syafiqkylez

Filem berat

Syafiq membintangi 14 filem sejak 2018 dan dua daripadanya pada tahun ini iaitu Sheriff: Narko Integriti mengutip RM64 juta dan The Experts (RM10 juta).

Bagaimanapun, pemenang tempat kedua Hero Remaja musim 2011/2012 itu menyifatkan naskhah Takluk: Lahad Datu paling sukar dilakonkannya sepanjang 13 tahun bergelar anak seni. Beliau mendedahkan beberapa kali menangis membaca skrip filem itu.

Padanya, negara kekurangan naskhah bergenre patriotik dan berharap kehadiran filem ini sempena bulan kebangsaan dapat menyuntik semangat cintakan negara kepada generasi muda.

“Kita tidak banyak filem yang cerita tentang tanah air dan bangsa. Dalam setahun, kita ada sebulan sahaja yang buat kita rasa semangat patriotik.

“Generasi akan datang kena tahu apa yang terjadi kepada wira yang berkorban sebelum mereka. Kita tidak boleh salahkan mereka jika kurang menghargai kerana kitalah yang tidak memberikan semangat itu kepada mereka,” ujarnya.

Pada 2013, negara digemparkan dengan pencerobohan pengganas Sulu di perairan Sabah menyaksikan berlakunya pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan kumpulan pengganas itu pada Mac 2013.

Insiden di Sabah kira-kira sedekad lalu itu menjadi inspirasi menghasilkan filem Takluk: Lahad Datu arahan Zulkarnain Azhar.

Tayangan awal di beberapa pawagam terpilih pada 16 Ogos, manakala tayangan di seluruh negara pada 22 Ogos.

Selain Syafiq, filem berkenaan juga dibintangi Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Eman Manan, Riezman Khuzaimi, Josiah Hogan, Ayez Shaukat dan Mustaqim Bahadon.


Pengarang :