Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tengku Mahkota Pahang murka, mahu Muhyiddin kena tindakan tegas

SHAH ALAM, 19 OGOS: Tengku Mahkota Pahang menzahirkan kemurkaan terhadap kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung isu pelantikan perdana menteri.

Titah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, bekas perdana menteri itu secara sengaja dan sinis mempertikai tugas dan peranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Sebagai bekas perdana menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri ke-10.

“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri.

“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah Baginda dalam kenyataan, hari ini.

Tengku Hassanal bertitah, Sultan Abdullah tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik perdana menteri walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada Baginda.

Titah Baginda, Sultan Abdullah telah memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara serta mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum pelantikan perdana menteri dibuat.

“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.

“Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah semasa Baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” titah Baginda.

Disebabkan itu, Tengku Hassanal mahu pihak polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R).

“Saya juga ingin menasihatkan semua ahli politik mestilah sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus-menerus sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia yang merupakan sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia,” titah Tengku Hassanal.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Abdullah ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Felda Perasu, Kelantan pada 15 Ogos lalu.


Pengarang :