Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat seni ukiran ketika majlis pelancaran buku Moyang–Spirit People of Carey Island di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey, Kuala Langat pada 19 Ogos 2024. Turut bersama Baginda Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari . Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Sultan titah kerajaan peka, senggara kemudahan Orang Asli dengan baik

KUALA LANGAT, 19 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan Kerajaan Selangor dan Persekutuan terus menyedia serta menyelenggara keperluan asas masyarakat Orang Asli dengan baik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kemudahan itu termasuk jalan raya, elektrik, klinik kesihatan dan sekolah, yang perlu disediakan dengan sempurna bagi kemajuan golongan tersebut.

“Kerajaan Negeri khususnya perlulah peka terhadap keperluan masyarakat Orang Asli di Selangor dan bersedia membantu untuk pembangunan serta kemajuan golongan itu.

“Beta tidak mahu mereka dibiar ketinggalan daripada arus pembangunan,” titah Baginda ketika merasmikan buku Orang Asli Mah Meri bertajuk Moyang-Spirit of Carey Island di sini, hari ini.

Buku berkenaan mengupas sejarah, kepercayaan, budaya, bahasa, sosioekonomi dan ekspresi seni suku Mah Meri berdasarkan pemerhatian peribadi pakar Orang Asli Rashid Esa selama 35 tahun.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat seni ukiran ketika majlis pelancaran buku Moyang–Spirit People of Carey Island di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey, Kuala Langat pada 19 Ogos 2024. Turut bersama Baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari . Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Karya itu bukan sahaja menonjolkan ukiran Moyang yang diiktiraf Unesco, malah turut menyelami cabaran dihadapi komuniti Mah Meri, yang kini berjumlah kurang 5,000 orang.

Baginda turut menitahkan Jabatan Kemajuan Orang Asli membantu dan membimbing Orang Asli dalam menjalani kehidupan harian untuk menikmati pembangunan serta kemajuan dengan cara tersendiri.

Pada masa sama, Sultan Selangor juga menitahkan pihak kerajaan dan swasta memberi sumbangan sewajarnya bagi membina dan membaiki semula Perkampungan Budaya Mah Meri yang dilanda ribut.

“Beta sedia maklum majlis perasmian buku ini sepatutnya diadakan di Kampung Sungai Bumbun, namun tidak dapat dibuat kerana perkampungan tersebut dilanda ribut dan banyak kerosakan.

“Justeru, Beta dengan penuh simpati menyeru kerajaan dan swasta memberi bantuan sewajarnya bagi membina dan memperbaiki semula perkampungan tersebut supaya kembali menjadi tempat yang sesuai dikunjungi masyarakat dan pelancong asing,” titah Baginda.


Pengarang :