Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pada majlis pelancaran buku Moyang–Spirit People of Carey Island di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey, Kuala Langat pada 19 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangan pinggir Orang Asli, Sultan mahu kesihatan kumpulan minoriti dijaga

KUALA LANGAT, 19 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan kerajaan kepentingan penjagaan kesihatan dan kebersihan perkampungan Orang Asli.

Selain memastikan kemudahan pada tahap terbaik, Baginda menegaskan kebajikan golongan tersebut tidak boleh dipinggirkan di sebalik usaha kerajaan mengejar kemajuan negara.

“Beta tidak mahu ada yang menganggap kewujudan Orang Asli tidak lagi relevan dalam usaha mengejar kemajuan negara. Beta mahu setiap perkampungan Orang Asli kekal bersih, di samping alam semula jadi yang terpelihara serta bebas dari wabak penyakit,” titah Baginda.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat seni ukiran ketika majlis pelancaran buku Moyang–Spirit People of Carey Island di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey, Kuala Langat pada 19 Ogos 2024. Turut bersama Baginda Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari . Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Baginda bertitah pada majlis perasmian buku Orang Asli Mah Meri bertajuk Moyang-Spirit of Carey Island nukilan pakar Orang Asli Rashid Esa, di sini hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor pernah mengingatkan masyarakat Orang Asli di negeri ini supaya mengambil berat isu kesihatan dan kebersihan selain menumpukan bidang pendidikan.

Baginda turut mengharapkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan golongan itu dalam keadaan sihat dengan persekitaran baik.

Dalam pada itu, Baginda mencadangkan Kerajaan Negeri membeli semua artifak penting Orang Asli yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

“Beta mencadangkan semua artifak penting terutama yang diiktiraf Unesco dibeli Kerajaan Selangor diletakkan di tempat sesuai supaya khazanah berharga ini tidak terlepas ke luar,” titah Baginda.


Pengarang :