Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelan komprehensif dilancar, anjakan besar pembangunan Bumiputera

PUTRAJAYA, 19 OGOS: Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) diluncurkan hari ini dalam membawa pembangunan Bumiputera ke arah menjadikan Malaysia peneraju ekonomi serantau.

Disokong tiga teras, 12 pemacu dan 132 ikhtiar komprehensif, berani, berpandangan dan inklusif sejajar Ekonomi Madani, pelan itu juga usaha berterusan kerajaan mengangkat martabat Bumiputera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menegaskan negara memerlukan anjakan besar untuk memacu agenda Bumiputera ke tahap lebih baik dan jelas selaras peredaran masa.

“Saya percaya dalam pelaksanaan tentunya yang utama agensi Bumiputera harus pastikan proses itu lebih teliti, lebih cekap dan bertanggungajwab. Ini prasyarat (untuk pelan berjaya).

“Jika tidak, kita curah berbilion (ringgit) masih bocor dan kesan tidak sampai ke peringkat akar umbi. Saya tegaskan hal sedemikian harus diambil perhatian,” katanya di sini, hari ini.

PuTERA35 digarap bagi Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara, Memperteguh Kerukunan Tatakelola dan Institusi dan Menegakkan Keadilan Sosial.

Matlamatnya pula membangunkan Bumiputera dinamik dan futuristik, mendepani isu, cabaran semasa dan mendatang selain menetapkan sasaran jelas bagi penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi.

Rancangan itu juga bakal membangunkan mekanisme pemantauan lebih berkesan melalui penetapan pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan setiap ikhtiar melibatkan Bumiputera.

Pelaksanaan PuTERA35 akan dipantau sepenuhnya Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan perdana menteri selain pelaporan bersepadu melalui papan pemuka bagi penilaian menyeluruh.

Perincian program dan projek bagi setiap ikhtiar meliputi jangka masa pendek, sederhana dan panjang disediakan agensi pelaksana berkaitan dan diselaraskan kementerian yang dikenal pasti.


Pengarang :