Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri) dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (empat, kanan) ketika acara peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Agenda Bumiputera terus diutamakan tanpa pinggir kaum lain

PUTRAJAYA, 19 OGOS: Iltizam Kerajaan Perpaduan jelas dalam memastikan agenda Bumiputera terus diutamakan menerusi setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara, kata menteri ekonomi.

Menurut Rafizi Ramli, komitmen tersebut sama sekali tidak akan menafikan hak kaum lain, sebaliknya mampu memanfaatkan semua golongan dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara.

Beliau menjelaskan masih banyak ruang dan peluang untuk Bumiputera bangkit supaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain, selain gah bersaing di pentas dunia.

“Masih ada ruang dan peluang untuk kita bermuhasabah dan berikhtiar dalam mencari solusi terbaik agar sosioekonomi kaum Bumiputera menjadi lebih maju dan makmur.

“Ini dapat dilakukan melalui reformasi struktur ekonomi ke arah menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya berucap dalam pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di sini, hari ini.

Rafizi menambah Bumiputera mewakili 70.1 peratus daripada 30.4 juta warganegara Malaysia tahun lalu, dengan 22 peratus mewakili Bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

Bagaimanapun, jelasnya, kadar pengangguran Bumiputera masih tinggi, mewakili 387,800 orang atau 61.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 630,400 penganggur berdasarkan bancian pada 2022.

“Sebanyak 70.8 peratus Bumiputera yang menganggur daripada kumpulan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun,” katanya sambil berharap golongan itu mampu berperanan dalam industri bernilai tinggi.

Petang tadi, kerajaan melancarkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), hala tuju baharu sebagai langkah proaktif mengangkat darjat dan martabat Bumiputera.

Rancangan itu juga menggagas tiga teras sejajar Ekonomi Madani iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi dan menegakkan keadilan sosial.

 


Pengarang :