Atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal akan beraksi acara 200 meter pada 20 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

Nur Afrina Batrisyia sasar pecah rekod SUKMA 200m esok

KUCHING, 19 OGOS: Pemenang pingat emas acara 100 meter (m) tekad memecahkan satu lagi rekod Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menerusi acara lumba lari 200m di Stadium Sarawak, Petra Jaya, esok.

Menerusi acara sama, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal berkata beliau turut mengintai peluang untuk memperbaiki rekod peribadinya, 24.0 saat yang dilakar dalam kejohanan Terbuka Terengganu bulan lalu.

“Selain menghadiahkan pingat emas buat Selangor bagi acara 200m esok, sasaran saya juga memperbaharui rekod masa kejohanan yang dipegang pelari Perak, Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri dengan catatan 24.31s,” katanya kepada Media Selangor hari ini.

Dalam acara 100m wanita akhir petang tadi, Nur Afrina Batrisyia bukan saja menepati ramalan merangkul pingat emas tetapi turut memecahkan rekod temasya menerusi catatan masa 11:64 saat.

Altlet berusia 19 tahun itu memperbaiki rekod dicipta Siti Fatimah dari Johor yang membuat 11.82 saat ketika edisi 2008 di Terengganu.

Nur Afrina menyumbang emas kelapan kepada negeri bagi acara 100m pada perlawanan di Stadium Sarawak, Petra Jaya.


Pengarang :