Atlet renang Selangor Andrew Goh (tengah) meraih emas kesepuluh Selangor dalam acara 100 meter kuak dada dengan catatan masa 1:01.39 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Pecah rekod, raih emas hasil strategi, teknik jurulatih bersama Andrew Goh

KUCHING, 19 OGOS: Strategi dan teknik renangan yang dirancang bersama jurulatih sebelum menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 membuahkan hasil apabila atlet renang Selangor Andrew Goh Zheng Yeng berjaya memecah rekod kebangsaan menerusi acara 100 meter (m) kuak dada lelaki.

Perenang berusia 20 tahun itu mencatat 1:01.39 (saat) dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini untuk menggenggam emas sekali gus memadam rekodnya sendiri pada Terbuka Malaysia dengan catatan 1:02.30s.

Andrew menyifatkan kejayaan itu mustahil dicapai tanpa bimbingan Eric Anderson yang juga jurulatih skuad kebangsaan dan Selangor selain sokongan keluarga dan rakyat Selangor.

“Saya jalani latihan bersungguh-sungguh dengan beliau (Eric) termasuk berfikir dan merancang teknik renangan sebelum SUKMA bermula. Saya mahu lihat aspek apa yang perlu ditekankan.

“Sebaik jejakkan kaki di kolam renang ini, saya yakin semuanya akan berjalan dengan baik. Saya sangat bangga dan gembira dengan keputusan ini,” katanya yang mendedikasi emas itu untuk Eric dan Selangor.

Andrew menambah perjuangannya tidak berakhir di SUKMA sebaliknya akan menumpukan persiapan ke Kejohanan Renang Dunia dan Sukan SEA tahun depan dengan harapan memperbaharui rekod.

“Jadi saya akan teruskan jalani latihan dan buat persediaan dengan mengambil semangat daripada kemenangan diperoleh di sini,” katanya.

Dalam acara itu, atlet Wilayah Persekutuan Cham Yu Xiang meraih perak dengan catatan 1:04.55s manakala gangsa menjadi milik atlet Sabah, Emmanuel Loh (1:04.98s).


Pengarang :