AGENDAJENAYAH

Lori rempuh rumah, suri rumah terselamat

BUKIT KAYU HITAM, 19 OGOS: Suri rumah terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas sebuah lori kontena merempuh bahagian hadapan rumahnya di Taman Desa Bayan Emas di sini, hari ini.

Shafiqa Shafie, 37, berkata ketika kejadian 2.30 petang itu, dia sedang berehat di dalam biliknya sebelum terdengar bunyi kuat brek kenderaan.

“Saya ada terdengar bunyi lori membrek beberapa kali. Saya intai dari tingkap tetapi tidak nampak, jadi saya terus ke bahagian dapur. Kemudian saya dengar bunyi rempuhan kuat dan lihat sebuah lori berada di bahagian tempat letak kereta rumah.

“Saya terkejut dan menggigil, nasib baik ada jiran datang membantu. Saya bersyukur kerana sempat keluar dari bilik,” katanya.

Shafiqa berkata meskipun lori itu tidak merempuh bahagian biliknya, tetapi serpihan batu-bata serta siling jatuh di atas katil.

Menurutnya, kereta dan motosikal miliknya juga rosak teruk akibat dilanggar lori berkenaan.

Katanya sepanjang hampir lapan tahun tinggal di situ, beberapa kejadian lori terbabas telah berlaku di selekoh laluan utama berdekatan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata pemandu lori mengalami cedera ringan dan polis melakukan ujian saringan air kencing ke atas lelaki berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :