Henry Goh Li Hen, 18, memperbaharui rekod peribadi acara 200 meter(m) gaya bebas dan 400m medley (rampaian) dengan mencatat 4:35.57 saat menerusi acara rampaian untuk merangkul pingat perak manakala gangsa 200m gaya bebas dengan catatan 1:54.23s di SUKMA 2024 pada 19 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

Henry Goh perbaharui rekod peribadi hasil bimbingan jurulatih

KUCHING, 19 OGOS: Impian perenang Selangor Henry Goh Li Hen memperbaharui rekod peribadi bagi acara 200 meter(m) gaya bebas dan 400m medley (rampaian) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 tercapai.

Ia selepas atlet berusia 18 tahun itu mencatat 4:35.57 saat menerusi acara rampaian untuk merangkul pingat perak manakala gangsa 200m gaya bebas dengan catatan 1:54.23s.

Ketika ditemui, Henry mengakui gementar melunaskan misi pada temasya dwitahunan kali ini, namun percaya mampu melakukannya berbekalkan taktikal diterap jurulatih Eric Anderson yang baharu beberapa bulan membimbingnya.

“Saya rasa sangat gembira bukan kerana dapat pingat untuk kedua-dua acara yang disertai tetapi berjaya atasi rekod peribadi. Sebelum SUKMA saya bimbang jika tidak dapat berbuat demikian.

“Tetapi saya yakin dengan diri sendiri termasuk (strategi) Eric walaupun beliau baru jadi jurulatih saya beberapa bulan. Saya boleh katakan beliau memang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, penuntut Sunway College itu bertekad mengekalkan momentum SUKMA pada Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang bakal disertainya September depan.

“SUKMA sebahagian daripada latihan dan persediaan untuk ke SUKIPT juga. Saya harap dapat kekalkan momentum ini untuk lakar kejayaan di situ,” katanya.

Dalam aksi 200m gaya bebas lelaki, emas diraih perenang Wilayah Persekutuan manakala rakan sepasukan Henry iaitu Jayden Goh Lii Jie mengutip perak.

Menerusi 400m rampaian, emas milik Khai Jayden Tan dari Wilayah Persekutuan sementara gangsa perenang Negeri Sembilan Jing Ngui.


Pengarang :