Atlet Selangor Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal akan beraksi acara 200 meter pada 20 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

Nur Afrina Batrisyia beraksi acara 200 meter esok, 32 emas jadi rebutan

KUCHING, 19 OGOS: Sukan mempertahankan diri kembali menjadi tumpuan apabila mempertaruhkan 32 daripada keseluruhan 78 pingat emas yang ditawarkan pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 esok.

Peminat sukan itu pasti menantikan aksi Miki atau nama sebenarnya Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, atlet Muay Thai tuan rumah di pentas final di Paragon Mall, Bintulu.

Adik kepada atlet sensasi Muay Thai negara, Muhammad Johan itu akan membuat perhitungan dengan wakil Melaka, Muhammad Zulfakar Othman.

Pada saingan esok, 14 pingat emas menjadi taruhan di gelanggang Muay Thai, manakala pencak silat di Stadium Bandaraya Miri menawarkan lapan emas.

Sementara itu, acara judo di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan silambam di Hikmah Exchange Event Center yang membuka tirai esok, masing-masing mempertaruhkan empat pingat emas manakala taekwondo yang memasuki hari keempat di Stadium Perpaduan Petra Jaya menawarkan dua emas.

Olahraga yang memasuki hari kedua di Stadium Sarawak pula menawarkan 13 emas dengan tumpuan pastinya kepada Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, kedua-duanya dalam acara 200 meter selepas mereka mendominasi acara 100 meter hari ini.

Selain itu, 12 pingat emas menjadi taruhan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong esok dengan sembilan daripadanya menerusi acara renang manakala tiga lagi bagi acara terjun.

Turut menawarkan emas esok adalah acara menembak dengan enam pingat, sepak takraw (empat), petanque dan angkat berat masing-masing tiga, tenpin boling dan lawan pedang masing-masing dua manakala badminton satu.

Sementara itu, antara acara yang masih meneruskan saingan esok ialah bola sepak lelaki yang memasuki saingan suku akhir, bola keranjang 5×5, bola sepak wanita, bola tampar pantai, boling padang dan tinju.

SUKMA 2024 berlangsung hingga 24 Ogos ini.

– BERNAMA


Pengarang :