Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian program publisiti dan penyertaan awam draf rancangan tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (penggantian) 2035 di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam pada 20 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sedia peruntukan tambahan selaras gaji penjawat awam

SABAK BERNAM, 20 OGOS: Kerajaan Selangor akan menyediakan peruntukan tambahan bagi membiayai pelarasan gaji penjawat awam negeri ini, yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya juga akan mengikut kaedah sama yang dilaksana kerajaan persekutuan dan berkuat kuasa mulai Disember tahun ini.

“Kita sedang kira impaknya tetapi bersedia dengan kemungkinan itu (pelarasan gaji) dan mungkin peruntukan tambahan diperlukan untuk membiayai peningkatan tersebut.

“Perkara ini (pelarasan gaji) akan diumum setelah siap (kertas kerja) dan akan dibuat (kuat kuasa) pada Disember dengan kadar dan kaedah sama mengikut persekutuan,” katanya ketika ditemui.

Sebelum itu, beliau merasmikan program publisiti dan penyertaan awam draf rancangan tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam Selangor 2035 (Penggantian) di sini, hari ini.

Pada 16 Ogos, perdana menteri mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai kumpulan pelaksana dan pengurusan dan profesional secara berfasa bermula 1 Disember 2024.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, pegawai kumpulan pengurusan tertinggi pula akan menerima kenaikan tujuh peratus, juga dibayar secara berfasa dengan bayaran kedua pada 1 Januari 2026.

Kali terakhir kenaikan gaji penjawat awam sekitar 13 peratus pada 2013, pelarasan itu juga akan melibatkan pesara dengan kadar ditentukan mengikut pelarasan gaji akhir.

 


Pengarang :