Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bergambar bersama pasukan Pilihan Selangor setelah memenangi Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Dianjur lebih dua dekad, Piala Sultan Selangor simbolik persahabatan, tolak keganasan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Piala Sultan Selangor menjadi simbolik persahabatan dan muhibah kesukanan sekali gus menjadi teladan membanteras keganasan sukan yang masih berleluasa terutama arena bola sepak tempatan.

Menurut perkongsian di Facebook Selangor Royal Office, piala yang diperkenalkan pada 2001 iaitu 23 tahun lalu bertujuan mempererat persaudaraan dua seteru utama Liga Malaysia suatu ketika dahulu, Selangor dan Singapura.

Facebook Selangor Royal Office

“Tidak seperti kejohanan lain, Piala Sultan Selangor adalah eksklusif untuk satu perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura di samping perlawanan persahabatan bersifat pertunjukan antara Veteran Selangor menentang Veteran Singapura.

“Idea penganjurannya dicetuskan sendiri oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada tahun sama Baginda ditabalkan sebagai Sultan Selangor.

“Perseteruan antara Selangor dan Singapura dalam arena bola sepak Malaysia amat menakjubkan kerana kedua pasukan ini adalah yang paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia pada zaman tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sejak Piala Malaysia diperkenalkan pada 1921 yang ketika itu dikenali sebagai Piala Malaya, kemudian Piala HMS Malaya, Selangor dan Singapura antara pasukan terhebat serta kerap bertembung di perlawanan akhir.

“Malah perlawanan akhir pertama Piala Malaya pada 1921 menyaksikan Singapura berjaya menewaskan Selangor. Sejak itu, Selangor dan Singapura bertemu sebanyak 22 kali lagi di perlawanan akhir Piala Malaysia.

Facebook Selangor Royal Office

“Keadaan itu nyata membangkitkan semangat perseteruan kesukanan dalam arena bola sepak yang turut dirasai penyokong kedua-dua pasukan sejak berdekad lamanya. Dalam tempoh itu Selangor menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada 2015 manakala Singapura dengan 22 kejuaraan,” katanya.

Mengulas lanjut,  pertembungan di antara Selangor dan Singapura sentiasa dinantikan sehingga digelar sebagai `Malayan El Clàsico’, yang mana kedua-dua pasukan musuh tradisi itu sentiasa menampilkan persaingan sihat dan saling hormat-menghormati.

“Sehinggalah pada 1994, Singapura menarik diri dari Liga Malaysia dan Sultan Selangor mencadangkan penganjuran Piala Sultan Selangor bermula 2001 bagi meraikan dan mengimbas kembali hebatnya perseteruan tradisi antara Selangor dan Singapura yang pernah mewarnai arena bola sepak tempatan,” katanya.

Tambah kenyataan itu diadakan setiap tahun sama ada di Stadium Shah Alam atau Stadium Nasional Singapura, kali terakhir kejohanan ini berlangsung pada 2019 sebelum ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Facebook Selangor Royal Office

“Sepanjang diadakan lebih dua dekad, Pasukan Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

“Pasukan Pilihan Singapura pula menjuarai sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017 manakala pada 2004 kedua-dua pasukan bergelar juara bersama, manakala 2015 terpaksa dibatalkan kerana jerebu,” katanya.

Katanya, kembali dengan edisi 2024 pada 17 Ogos, Piala Sultan Selangor kali ini dianggap berbeza kerana ia diadakan semula di medan keramat kedua-dua pasukan iaitu di Stadium Merdeka.

“Pilihan Selangor berjaya merangkul kejuaraan hatrik berturut-turut dengan menewaskan Pilihan Singapura 2 gol berbalas 1.

“Ternyata, saingan Piala Sultan Selangor 2024 dianggap telah menggamit banyak nostalgia dan kenangan, terutama bagi lagenda dan penyokong kedua-dua pasukan.

Foto Facebook Selangor Royal Office

“Malah lagenda bola sepak Selangor seperti Datuk Zainal Abidin Hassan dan lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad sendiri mengakui amat teruja dengan penganjuran Piala Sultan Selangor yang disifatkan sebagai satu platform mengimbas kembali nostalgia ‘permusuhan tradisi’ antara kedua-dua pasukan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan Piala Sultan Selangor sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan.

“Selain mengembalikan nostalgia, penganjuran Piala Sultan Selangor adalah antara acara yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan yang merindui zaman kegemilangan bola sepak Malaysia.

“Diharapkan penjelasan ini dapat memberi fakta tepat dan manfaat pengetahuan lebih jelas kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang mungkin masih belum faham atau dimomokkan dengan informasi mengelirukan tentang sejarah sebenar kewujudan Piala Sultan Selangor,” katanya.


Pengarang :