Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis perasmian program publisiti dan penyertaan awam draf rancangan tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (penggantian) 2035 di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam pada 20 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Berlapang dada terima teguran, ‘resipi’ pastikan tadbir urus lebih baik

SABAK BERNAM, 20 OGOS: Penjawat awam negeri ini perlu berlapang dada menerima teguran daripada mana-mana pihak bagi memastikan pelaksanaan tadbir urus yang lebih baik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata teguran itu akan menjadikan kerajaan sedia lebih kemas, selain terus relevan dan berjaya untuk jangka masa panjang.

“Tegurlah, katalah apa pun. Kita kini jelas berada pada sasaran dan landasan yang betul, cuma perlu diperkemas lagi (tadbir urus) selain menjelaskan pelaksanaan perkhidmatan.

“Pasukan saya dan penjawat awam kena terima dan hadam semula dengan hati terbuka dan melaksanakan pembaikan. Ini ‘resipi’ untuk terus berjaya dan relevan pada hari ini dan akan datang,” katanya.

Beliau berucap demikian pada program publisiti dan penyertaan awam draf rancangan tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam Selangor 2035 (Penggantian) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menggunakan istilah kebebasan demokrasi bagi melepaskan marah dan membantah tanpa sebarang alasan.

“Tindakan memutar belit dan mencipta fitnah serta naratif ini tidak baik, hanya memburukkan. Ini tidak bagus untuk pembangunan negara dan bangsa yang sedang dipulihkan susulan Covid-19,” katanya.

Draf rancangan tempatan itu akan mengenal pasti beberapa lokaliti sekitar Sabak Bernam yang perlu dizon dan dikategorikan semula bagi mewujudkan pembangunan bandar di kawasan berkenaan.

Merangkumi lima teras dengan pelbagai strategi dan pembangunan, perubahan landskap di daerah itu perlu dibuat bagi memastikan ia dapat dimajukan sebagai kawasan industri dan pelancongan.

 


Pengarang :