Atlet renang Selangor, Khew Zi Xian meraih emas acara 100 meter (m) gaya bebas wanita ketika ketika Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pada 20 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Buku lali cedera bukan penghalang Zi Xian raih emas, perak acara renang

KUCHING, 20 OGOS: Kecederaan buku lali dialami beberapa minggu sebelum temasya Sukan Malaysia (SUKMA) bukan halangan buat perenang muda Selangor Khew Zi Xian melakar kejayaan berganda.

Lebih manis, atlet berusia 18 tahun itu menggenggam pingat emas acara 100 meter(m) gaya bebas dan 200m gaya bebas individu wanita (perak) dalam penampilan sulung di pentas sukan berprestij negara.

Dia yang ditemui di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini meluahkan rasa bangga dengan pencapaiannya yang turut memperbaiki rekod peribadi bagi acara 200m gaya bebas semalam dengan catatan 2:07.13.

“Sebelum SUKMA, saya gigih jalani latihan hingga ditimpa masalah serius apabila buku lali mengalami kecederaan. Tetapi saya tetap teruskan latihan kerana ada misi untuk temasya kali ini.

“Saya akui gugup sebelum memulakan acara dan perasaan pula bercampur baur. Saya cemas dan tidak yakin tetapi cuba sedaya upaya fokus terhadap diri sendiri serta positif. Saya gembira dengan keputusan ini,” katanya hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik turut berterima kasih atas sokongan ibu bapa terhadap perjuangannya dalam sukan itu termasuk jurulatih Eric Anderson dan rakan sepasukan yang sentiasa memberi dorongan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu akan menyertai kejohanan renang peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sebaik temasya dwitahuhan berakhir selain tekad mencipta kejayaan lain.

“Saya teruja untuk bersaing dalam lebih banyak kejohanan dan mahu melakukan yang terbaik demi meraih kejayaan,” katanya lagi.


Pengarang :