Pasukan renang Selangor dibarisi Khar Chuan Teoh (kanan, belakang), Andrew Goh Zheng Yen (kiri, belakang), Shun Qi Lim (dua, kanan, hadapan), Zi Xian Khew (kiri, hadapan) meraih emas acara 4×100 meter (m) rampaian campuran di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya pada 20 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Tuai emas, pasukan renang campuran pamer semangat juang luar biasa

KUCHING, 21 OGOS: Semangat juang luar biasa dipamerkan pasukan renang 4×100 meter(m) rampaian campuran membawa kepada kejayaan menggenggam emas acara itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Skuad dibarisi Khar Chuan Teoh, Andrew Goh Zheng Yen, Shun Qi Lim dan Zi Xian Khew mencatat masa 4:00.30 saat(s) pada acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini.

“Kerja berpasukan kami begitu menakjubkan. Malah sesi latihan yang dijalani selama berbulan-bulan sebelum SUKMA akhirnya membuahkan hasil.

“Saya tidak sabar melihat lebih banyak emas diraih pasukan renang Selangor dalam acara lain selepas ini. Saya percaya kami boleh melakukannya,” kata Shun Qi Lim.

Sementara itu, Andrew yang turun selaku perenang kedua mengakui bangga atas kemampuan mereka menyempurnakan renangan dari awal hingga akhir.

“Kami laksanakan renangan kami dengan agak baik tanpa memberi peluang kepada pasukan lain memintas kami sebaik wisel dibunyikan,” kata atlet berusia 20 tahun yang turut memecah rekod kebangsaan acara 100m kuak dada individu lelaki pada Isnin.

Bagi Khar Chuan, dia mengakui perlu menggalas peranan penting sebagai perenang pertama terutama bagi melebarkan jarak dengan pesaing lain.

“Saya agak tertekan juga kerana turun selaku perenang pertama tetapi saya fikir perlu buat yang terbaik untuk memastikan kemenangan pasukan dan emas buat Selangor,” katanya.

Zi Xian yang hampir hilang kata-kata terharu atas komitmen rakan sepasukannya bagi memastikan emas menjadi milik Selangor selain berazam memperaga aksi lebih baik bagi acara lain yang akan disertainya.

Dalam acara itu, pesaing terdekat Selangor iaitu Wilayah Persekutuan merangkul perak dengan catatan 4:02.28s manakala tuan rumah Sarawak (gangsa) 4:09.15s.


Pengarang :