Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bersama Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San ketika lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke DNS sempena Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 21 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

Speaker Dewan Rakyat lawat Dewan Selangor, bawa input ke kemuncak sidang

SHAH ALAM, 21 OGOS: Yang Dipertua Dewan Rakyat mengadakan lawatan ke bangunan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini sempena Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2024 pada September depan.

Tan Sri Johari Abdul berkata Selangor merupakan negeri terakhir sesi jelajah berkenaan sebelum beliau membuat lawatan ke Sabah dan Sarawak menjadi lokasi kemuncak program yang dijadual pada 11 hingga 14 September.

“Ini persidangan tahunan. Tahun lepas dibuat di Langkawi, Kedah. Objektifnya untuk mengeratkan hubungan antara speaker Dewan Rakyat dan dewan negeri di samping kita kongsi pengalaman yang ada.

“Ini penting supaya kedudukan institusi speaker dapat dimartabatkan kerana sistem sekarang harus diperlihat selain menjelaskan pengasingan kuasa. Hasil lawatan semua negeri ini akan diketengahkan dan dicadang sebagai resolusi.

“Ini boleh diimplementasikan kerajaan negeri masing-masing sekali sekali gus menaik taraf kedudukan speaker dan memperkemas perjalanan pentadbiran negeri dan negara,” katanya pada sidang media.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul bersama Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San ketika lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke DNS sempena Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 21 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Diiringi Speaker DNS Lau Weng San dan timbalannya Kamri Kamaruddin, Johari turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Semalam, Dewan Rakyat menerusi kenyataan memaklumkan persidangan speaker itu bakal mengetengahkan beberapa agenda antaranya memperkasakan institusi legislatif melalui kerjasama Parlimen Malaysia, DUN dan institusi eksekutif.

Selain itu, semakan semula undang-undang lama, merakyatkan institusi legislatif serta inisiatif melahirkan kepimpinan generasi baharu yang cakna akan ilmu ketatanegaraan dan pentadbiran negara turut diberikan perhatian.

Perkembangan serta pembangunan ekonomi, penaiktarafan kemahiran serta kecekapan tenaga kerja melalui latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) turut akan dibincang.


Pengarang :