ADNSELANGOR

Skrin gergasi tayang final Piala FA, jamu air percuma kepada penonton

SHAH ALAM, 21 OGOS: Skrin gergasi menayangkan perlawanan akhir Piala FA antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan disediakan di Restoran Haji Basheer, Pinggiran USJ, Sabtu ini.

Wakil rakyat Batu Tiga berkata program bermula 7.30 malam itu bakal disertai legenda bola sepak kebangsaan, yang juga bekas pemain pasukan Red Giants Azman Adnan selain Bunyamin Omar.

Dijangka bakal dimeriahkan sekitar 300 penonton, Danial Al-Rashid Haron memberitahu minuman percuma turut disediakan selain menyediakan aktiviti timbang bola bersama Azman.

“Kita jemput orang ramai hadir untuk berikan semangat kepada pasukan ini. Jangan lepaskan peluang menyaksikan perlawanan epik ini dan bertemu dengan legenda bola sepak tanah air,” katanya.

Perlawanan akhir Piala FA akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 malam.

Selangor FC menewaskan Terengganu FC dengan agregat 6-4 untuk melangkah ke perlawanan akhir, manakala JDT mara ke final selepas mengatasi Kedah Darul Aman dengan agregat 5-1.

Terdaulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata seramai 2,488 pegawai dan anggota akan ditugaskan semasa perlawanan akhir itu bagi kelancaran lalu lintas dan mengelak kekecohan.


Pengarang :