Sukarelawan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyertai program pemulihan bakau di Taman Mangrove Point di muara Sungai Klang sempena Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia, baru-baru ini. Foto ihsan Jabatan Komunikasi Korporat Malaysia Rail Link Sdn Bhd
AGENSISELANGOR

ECRL sokong inisiatif Gerbang Maritim Selangor lindungi ekosistem bakau

SHAH ALAM, 21 OGOS: Lebih 70 sukarelawan daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menyertai program pembersihan dan pemulihan bakau di Taman Mangrove Point, Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Diadakan sempena Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau, peserta meluangkan masa hampir tiga jam mengutip sampah seperti tin minuman selain menanam semula 100 pokok bakau minyak dan bakau kurap.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Datuk Seri Darwis Abdul Razak dalam kenyataan berkata inisiatif itu bagi mendukung usaha Gerbang Maritim Selangor untuk meningkatkan ekosistem bakau.

Beliau menjelaskan inisiatif yang turut disokong Jabatan Perhutanan Selangor bakal membantu menjadikan Taman Mangrove Point sebagai salah satu destinasi baharu untuk ekopelancongan.

“Program pemulihan bakau mencerminkan tanggungjawab kolektif kami untuk melindungi dan memelihara ekosistem bakau serta meningkatkan pengurusan pertumbuhan anak pokok bakau baharu.

“Usaha ini akan menyumbang persekitaran mampan untuk generasi akan datang,” katanya menambah peserta juga dididik berhubung sistem pemantauan kualiti air sepanjang Sungai Klang.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan terus menyokong inisiatif melindungi alam sekitar dan warisan semula jadi, selain menjelaskan jajaran rel projek ECRL mengambil kira aspek berkenaan.

Jajaran ECRL bakal merangkumi lima stesen di Selangor iaitu Jalan Kastam (Pelabuhan Klang), Kapar dan Terminal Bersepadu Gombak yang akan berfungsi sebagai stesen penumpang sahaja.

Laluan di Puncak Alam dan Bandar Serendah pula akan menjadi stesen penumpang dan kargo.

ECRL sepanjang 665km akan merentasi Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.


Pengarang :