Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli hadir beramah mesra bersama sama atlet Selangor ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Raja Muda berkenan tinjau perkampungan atlet SUKMA Selangor

KUCHING, 21 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah hari ini berkenan mencemar duli meninjau perkampungan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kota Samarahan di sini.

Ketibaan Baginda pada jam 3.10 petang disambut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Unimas Prof Ir Dr Al-Khalid Othman dan EXCO Sukan merangkap Ketua Kontinjen Selangor Najwan Halimi.

Turut serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) merangkap Timbalan Ketua Kontinjen Selangor Dato’ Mohd Yazid Sairi, Ahli Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) Selangor Dato’ Abd Hamid Hussain dan Pengarah Eksekutif MSNS Mohamad Nizam Marjugi.

Dalam lawatan selama sejam, Baginda beramah mesra dengan atlet selain menitip kata-kata semangat supaya meneruskan perjuangan dalam temasya dwitahuhan itu demi mengharumkan nama negeri.

Tengku Amir Shah juga menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet yang berjaya melengkapkan misi menerusi acara masing-masing dan merakam foto bersama atlet.

Sebelum beredar, Baginda melawat pusat rehabilitasi yang menempatkan pakar perubatan dan fisiologi bagi memudahkan proses rawatan atlet jika berlaku kecederaan.

Dibuka sejak 12 Ogos, perkampungan itu menempatkan kira-kira 150 atlet membabitkan sukan bola sepak wanita, bola keranjang, hoki, kriket, olahraga dan lombol manakala atlet lain menginap di perkampungan berdekatan lokasi acara mereka dipertandingkan.

Difahamkan, kemudahan lain tersedia ruangan mandi ais (ice bath), khidmat tukang urut selain makan dan minum tiga kali sehari.


Pengarang :