Kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga bersama KDEB Waste Management membersihkan air banjir di kawasan sekolah Padang Jawa pada 21 Ogos 2024. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga – YB Danial Al Rashid
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN teliti punca banjir kilat di Padang Jawa, tumpu aspek pembersihan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga sedang meneliti punca kejadian banjir kilat yang berlaku di Padang Jawa semalam, dipercayai akibat kolam takungan tidak berfungsi.

Danial Al Rashid Haron ketika dihubungi berkata insiden berkenaan tidak sepatutnya berlaku berikutan kolam takungan itu siap dibina Oktober tahun lalu dengan kos RM5.3 juta.

“Saya difahamkan air tidak mengalir ke kolam tadahan tersebut dan susulan itu mesyuarat bersama pelbagai agensi dilaksanakan pagi tadi bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran akan menyenggara parit hingga ke kunci air, manakala Jabatan Kerja Raya menyemak semula kontraktor jalan menyebabkan laluan air ke longkang tertutup.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al Rashid ketika Karnival Sukan OKU peringkat negeri Selangor di Stadium JKR Seksyen 17 Shah Alam pada 28 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada masa sama, Danial memberitahu pihaknya akan menumpukan aspek pembersihan membabitkan sekolah dan tabika yang terkesan akibat banjir kilat, sebelum menyalurkan bantuan.

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya menggerakkan Pasukan Tindakan Segera (Pantas) ke lokasi sejurus dimaklumkan kejadian tersebut.

“Skuad Pantas berada di lapangan bagi pembersihan dan kita juga kenal pasti punca banjir. Semakan sistem saliran juga dibuat sama ada perlu dibaiki atau faktor lain termasuk sampah,” katanya.

Hujan lebat bermula petang semalam mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Shah Alam dan Klang antaranya Jalan Kebun, Setia Alam, Sungai Bertih dan Pelabuhan Klang.


Pengarang :