Perenang Selangor Andrew Goh memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara 50 meter kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching, pada 21 Ogos 2024 . Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Perenang Selangor pecah dua kali rekod kebangsaan 50m kuak dada lelaki

KUCHING, 21 OGOS: Perenang Selangor Andrew Goh memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara 50 meter kuak dada lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, hari ini.

Atlet berusia 20 tahun itu mencatat 27.40 saat(s) dalam saingan akhir sekali gus memenangi emas ketiga temasya dwitahunan kali ini.

Sebelum itu, beliau mencatat 28.03 saat dalam saringan ketiga acara sama di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, mengatasi 28.10s yang dilakar pada Terbuka Malaysia 2023 di Kuala Lumpur.

Catatan itu juga memadam rekod SUKMA, 28.86s milik perenang Melaka Foong Wei Tze pada edisi 2018.

Pada 19 Ogos, Andrew memperbaharui rekod kebangsaan acara 100m kuak dada dengan catatan 1:01.39s, memadam rekod lama miliknya 1:02.30s dicatatkan pada Terbuka Malaysia 2024 dan rekod SUKMA milik Wong Fu Kang 1:03.05s pada edisi 2016.

Semalam, Andrew turut membantu pasukan 4x100m rampaian campuran merangkul emas dengan catatan 4:00.30s.


Pengarang :