Aksi atlet tenis Selangor Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman ketika acara individu wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di Gelanggang Tenis SLTA, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SUKMA Hari Ke-11: Sharifah Elsa hadiahkan emas ke-29 buat Selangor

SHAH ALAM, 22 OGOS: Sebanyak 72 pingat emas dipertandingkan membabitkan 16 acara pada hari ke-11 Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, hari ini.

Selangor menyasar memperoleh 15 emas menerusi acara tenis, silambam, lawan pedang, tinju, judo, memanah, gimnastik artistik dan ragbi.

Tumpuan turut diberikan Selangor kepada acara olahraga, akuatik dan bola sepak bagi menambah emas sekali gus mencapai sasar berada di tangga tiga teratas sebelum temasya melabuhkan tirainya pada 24 Ogos ini.

Setakat malam tadi, Selangor di tangga keempat dalam carta keseluruhan pingat dengan kutipan 27 emas, 41 perak dan 31 gangsa.

Berikut perkembangan semasa SUKMA Sarawak hari ini:

1.00 tengah hari: Pasukan silambam Selangor menambah satu lagi pingat emas menerusi kategori poruthal lelaki 65-75 kg di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching.

Mahendran Manimaran berjaya tampil dengan aksi cemerlang untuk menewaskan pencabarnya Githan Kathiresan dari Pulau Pinang dengan mata 31-18.

Atlet Selangor Mahendran Manimaran memenangi pingat emas dalam acara silambam kategori poruthal lelaki 65-75 kg di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

12:20 tengah hari: Pemain tenis muda Selangor Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman menewaskan Shihomi Li Xuang Leong dari Perak untuk memenangi emas acara individu wanita.

Pemain berusia 21 tahun itu menang 6-1, 6-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak, Kuching.

12:00 tengah hari: Atlet Selangor Luthrabalan Parsuraman membawa pulang pingat emas dalam kategori poruthal lelaki bawah 55 kg.

Dalam aksi akhir yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre di sini, Luthrabalan memperoleh 27 mata menewaskan atlet tuan rumah Asyraff Aqil Mohamad Zainurrin Azm yang hanya meraih 16 mata.

Atlet Selangor Luthrabalan Parsuraman memenangi pingat emas dalam acara silambam kategori poruthal lelaki bawah 55 kg di Hikmah Exchange Event Centre hari ini. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

11:40 pagi: Kedah tambah satu pingat emas acara angkat berat menerusi Nur Syazwani Radzi dalam kategori wanita 64 kg

11.18 pagi: Nurul Aiyani Mohamed Kamaluddin dari Pahang menang acara baling tukul besi wanita

11.05 pagi: Atlet Pulau Pinang, Sriven Tan rangkul emas acara lumba jalan kaki 10,000 meter lelaki

10.30 pagi: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menonton perlawanan akhir tenis Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak di sini.

Perlawanan akhir individu wanita membabitkan jaguh muda Selangor Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman, 21, dan Shihomi Li Xuang Leong (Perak) sedang berlangsung sebaik ketibaan Tengku Amir Shah.

Pada aksi separuh akhir semalam, Sharifah membenam cabaran Nao Ziyi Phang dari Wilayah Persekutuan 6-0 dan 6-1 untuk melangkah ke pusingan akhir.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan menonton perlawanan akhir tenis Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

10.18 pagi: Pelari jarak jauh Wilayah Persekutuan, Kristian Tung sambar emas peribadi ketiga, ungguli acara 5,000 meter

9.40 pagi: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyaksikan pertandingan akhir acara silambam lelaki di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching.

Keberangkatan tiba Baginda pada 9.30 pagi diiringi EXCO Sukan Najwan Halimi bagi menyaksikan atlet Selangor Mahendran Manimaran bersaing dalam kategori poruthal 65-75 kg lelaki manakala Luthrabalan Parsuraman bawah 55 kg lelaki.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyaksikan pertandingan akhir acara silambam lelaki di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

9.00 pagi: Jaguh renang Selangor Andrew Goh Zhe Yeng mencongak strategi untuk meleburkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) kuak dada individu lelaki petang ini.

Temasya kali ini menyaksikan Andrew memecahkan rekod kebangsaan menerusi acara 50 m kuak dada lelaki, semalam dan 100 m kuak dada pada 19 Ogos.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan bergambar dengan atlet renang negeri Andrew Goh Zheng Yeng selepas mengalungkan pingat emas acara 50 meter(m) kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :