Seramai 127 orang rakyat Palestin tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang bagi mendapatkan rawatan perubatan dengan menaiki dua pesawat Airbus A400M milik TUDM pada 16 Ogos 2024. Mereka mencari perlindungan di Mesir selepas melarikan diri daripada serangan berterusan Israel ke atas Palestin yang telah meragut hampir 40,000 nyawa. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Menteri: Tiada misi kedua bawa warga Palestin cedera untuk dirawat setakat ini

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Tiada misi kedua membawa lebih ramai rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia setakat ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Kita kena faham 70,000 rakyat Palestin dapat lintas sempadan dan tinggal di Mesir, namun negara itu tidak mampu, jadi kita bantu seadanya dan yang termampu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung pergerakan Wanita, Pemuda dan Wanita Umno di sini malam tadi.

Sementara itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihaknya berjanji akan memberi bantuan perubatan, dan selepas itu menghantar semula semua rakyat Palestin itu pulang ke negara mereka.

“Saya berbincang dengan pemimpin Palestin, bahkan mereka tidak mahu meninggalkan tanah air mereka. Mereka rela mati di negara itu. Mereka mahu kembali ke tanah air, tidak mahu dihalau dari tempat tinggal,” katanya.

Terdahulu ketika ucapan perasmian itu, Mohamad berkata bahawa Malaysia akan terus melakukan apa sahaja yang terdaya dalam membantu perjuangan Palestin yang menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman rejim Zionis Israel.

Beliau berkata kuasa-kuasa besar dunia enggan menghentikan Israel daripada melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

– BERNAMA


Pengarang :