SELANGOR

Bengkel OKU Bisnes Online PWB DUN Bangi tingkat kemahiran IT

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 1 FEB: Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Bangi telah menganjurkan Bengkel OKU Bisnes Online bagi membantu golongan kelainan upaya (OKU) menjana pendapatan dari rumah dengan kerjasama Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat, Pusat Khidmat ADUN Bangi dan Masjid Hasanah.

Pengerusi Persatuan OKU, Syed Mohamed Abdullah berkata, objektif utama bengkel itu diadakan untuk meningkatkan kemahiran OKU dalam bidang IT.

“Bengkel ini membimbing peserta memulakan perniagaan atas talian secara kreatif dan memberi motivasi agar peserta ingin menceburi bidang perniagaan.

“Mereka diajar cara pemasaran produk menggunakan Facebook dan Instagram supaya mereka dapat menjana pendapatan dan berdikari dalam menggunakan media massa,” katanya.

Syed berkata, program itu memberi kesan positif dan semangat kepada mereka hadir untuk yakin bahawa walaupun mereka kekurangan dari segi fizikal tetapi mereka juga mampu menjana pendapatan dari rumah.

Tambahnya lagi, melihat sambutan yang menggalakkan kebanyakan peserta mencadangkan agar siri ke-2 bengkel dapat dianjurkan pada masa akan datang.

=EZY=


Pengarang :