GLOBALSUKANKINI

Keputusan kontroversi paksa Liverpool-Spurs berkongsi mata

OLEH AFIX REDZUAN

MERSEYSIDE, 5 FEB: Liverpool dan Tottenham Hotspur terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi yang turut dicemari dua keputusan kontroversi pengadil perlawanan.

Mohamed Salah memberikan kelebihan awal buat The Reds seawal minit ketiga apabila menolak mudah bola ke gawang Spurs selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan bagi gol pertama perlawanan.

Spurs yang menguasai hampir 67 peratus permainan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1, pada minit ke-80 menerusi rembatan kencang luar kotak penalti pemain gantian, Victor Wanyama.

Kontroversi pertama bermula, pada minit ke-85 apabila penyerang Spurs, Harry Kane dijatuhkan dalam kotak penalti sedangkan sebelum itu beliau berada dalam keadaan ‘offside’.

Pengadil Jon Moss membenarkan sepakan penalti kepada Spurs walaupun pada awalnya bercanggah pendapat dengan penjaga garisan, Eddie Smart.

Namun, Kane gagal menyempurnakan sepakan itu apabila ia berjaya ditepis keluar penjaga gol, Loris Karius bagi keputusan semasa kekal 1-1.

Masuk minit pertama masa tambahan babak kedua, Mohamed Salah kembali meletakkan Liverpool mendahului
2-1 apabila berjaya melepasi benteng pertahanan Spurs sebelum menolak bola masuk menewaskan Hugo Lloris.

Ketika perlawanan seolah bakal memihak Liverpool, Spurs dihadiahkan sepakan penalti kedua apabila Virgil van Dijk dilihat menendang Erik Lamela.

Jon Moss pada awalnya enggan menghadiahkan sepakan penalti tetapi mengubah keputusan berkenaan selepas penjaga garisan, Eddie Smart mengangkat bendera selepas mendapati berlaku kekasaran.

Peluang kedua itu nyata tidak dipersiakan Kane bagi memastikan Spurs pulang dengan satu mata.

Jaringan berkenaan adalah ke-100 buat penyerang antarabangsa England bersama Spurs selain mengekalkan kedudukan selaku penjaring terbanyak semasa Liga Perdana Inggeris dengan 22 gol, kelebihan satu jaringan dihadapan penyerang Liverpool, Mohamed Salah.

Sementara dalam satu lagi perlawanan, Crystal Palace turut mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Newcastle United.

Diame meletakkan Newcastle di hadapan pada babak pertama sebelum Luka Milivojevic menyempurnakan sepakan penalti, pada minit ke-55 dan keputusan seri itu kekal sehingga tamat perlawanan.


Pengarang :