GLOBALSUKANKINI

Jaringan Pique selamatkan Barcelona

OLEH AFIX REDZUAN

MADRID, 5 FEB: Pendahulu La Liga, Barcelona terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengutip satu mata berdepan musuh setempat, Espanyol.

Tanpa kelibat Lionel Messi pada babak pertama, Barcelona diihat bergelut memecah benteng tuan rumah walaupun membariskan Luis Suarez, Philippe Coutinho dan Francisco Alcacer di jentera serangan.

Peluang terbaik Barcelona hadir menerusi percubaan Coutinho yang hanya singgah ke palang, pada minit ke-22.

Espanyol turut melancarkan serangan tetapi percubaan mereka berjaya dikawal penjaga gol,Marc-Andre ter Stegen.

Masuk babak kedua, Messi dimasukkan bagi menggantikan Alcacer, pada minit ke-57.

Ketika Barcelona ghairah mengatur serangan, Espanyol mencipta kejutan dengan membolosi gawang mereka menerusi tandukan Gerard Moreno walaupun cuba dihalang Gerard Pique.

Tetapi gol penyamaan yang dinantikan Barcelona akhirnya menjelma, pada minit ke-82 menerusi tandukan Pique, sekali gus menebus kesilapan awal beliau.

Keputusan 1-1 yang berakhir sehingga tamat perlawanan itu tidak menjejaskan kedudukan Barcelona selaku pendahulu La Liga dengan jarak sembilan mata dengan pasukan kedua, Atletico Madrid.


Pengarang :