KENYATAAN MEDIA

Ramai pekerja diberhentikan, ekonomi Malaysia baik?

Saya mengambil maklum kenyataan Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal mendakwa pihaknya menerima banyak aduan daripada kesatuan-kesatuan sekerja yang melaporkan ahli-ahli mereka diberhentikan kerja oleh majikan dengan diberikan notis mengejut.

Menurutnya, para pekerja begitu terkejut dengan notis singkat yang diberikan oleh syarikat dan mereka tidak mempunyai cara untuk bertindak balas terhadap pemberhentian itu.

Jelasnya, terdapat juga sesetengah syarikat yang memberhentikan pekerja dengan memaksa mereka menandatangani surat pemberhentian kerja sebagai tanda bersetuju untuk diberhentikan. Bagi pekerja yang enggan menandatangani surat pemberhentian kerja itu, kata beliau, mereka akan diberi tekanan dan ancaman serta gangguan.

1. Melihat kepada trend pemberhentian pekerja ini, ia sangat mengejutkan. Hal ini kerana semua rakyat Malaysia umum mengetahui bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib berulang kali mengatakan dan meyakinkan rakyat bahawa ekonomi Malaysia dalam keadaan baik dan kukuh.

Namun, apa yang terjadi kepada nasib rakyat di negara ini yang diberhentikan kerja secara mengejut oleh syarikat mereka ketika ini? Adakah Najib telah berbohong kepada rakyat, sedangkan baru-baru ini dia telah memberitahu bahawa ekonomi baik , namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

2. Apa yang menyedihkan,adalah pekerja-pekerja ini menjadi mangsa sehingga kehilangan punca pendapatan dan rata-rata antara mereka mempunyai keluarga untuk disara. Perkara ini boleh dianggap sebagai tidak berperikemanusiaan ekoran notis singkat yang diberikan pihak syarikat.

Tambahan pula tekanan kos sara hidup yang semakin tinggi, harga minyak setiap minggu berlaku peningkatan, harga barang pula tidak pernah menunjukkan kadar penurunan, ditekan pula dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menyebabkan rakyat semakin tertekan dan terbeban.

3. Bagi saya, tindakan seperti ini telah menganiaya semua pekerja terbabit malah disifatkan pemberhentian kerja besar-besaran yang terburuk sejak Najib mentadbir negara.

Perkara ini juga dapat dibuktikan apabila ramai pakar ekonomi mengatakan ekonomi Malaysia kini berada pada paras yang boleh dianggap ‘gawat’.Malah, sebelum ini, Perdana Menteri Britain, David Cameron juga telah menggesa Najib supaya melakukan urustadbir yang lebih baik dan berkesan terutamanya dalam isu ketelusan.

Melihat kepada kadar Ringgit Malaysia,ia sudah melebihi RM4 untuk 1 Dolar Amerika dan lebih RM6 untuk 1 Pound Britain. Jika keadaan ini berterusan, kita akan mengimpot dengan kadar yang amat mahal.

4. Menyentuh soal pekerja-pekerja yang di paksa berhenti, keadaan ini membuktikan bahawa kebanyakkan syarikat sudah terdesak dan tidak mampu untuk mengupah pekerja dengan kadar sedia ada sehingga sanggup mengambil pekerja asing untuk bayaran yang lebih murah.

Ia jelas ketika ini, keadaan ekonomi kita merundum. Syarikat -syarikat asing juga tidak mampu bertahan, bagaimana pula dengan syarikat tempatan?

5. Justeru itu, seharusnya kerajaan perlu menjaga rakyat sendiri dengan mewujudkann lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pelaburan dalam dan luar negara serta menghantar pulang lambakan pekerja asing dengan segera.

Saya juga ingin mengingatkan kerajaan, salah satu cara untuk terus berjimat dengan tidak terus melakukan pembaziran, penyelewengan dan rasuah. Dengan itu, keadaan ekonomi mungkin sedikit pulih dan rakyat tidak tertekan seperti hari ini.

YB Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid
Ahli Parlimen Kuala Langat
Pengerusi Biro Pekerja
Parti KEADILAN Rakyat


Pengarang :