SELANGOR

Lambakan hutang & perkhidmatan teruk, KeTTHA digesa kaji tamatkan perjanjian

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) diminta mengkaji sama ada perjanjian syarikat konsesi pembekal air, SPLASH boleh ditamatkan ekoran kegagalan syarikat itu memikul tanggungjawabnya sebagai pembekal air kepada Syarikat Air Selangor.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata, hal ini berikutan SPLASH bukan sahaja berhadapan masalah kewangan yang menyebabkan hutang berjuta ringgit kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), malah mempunyai masalah pengurusan yang tidak cekap.

“SPLASH mendapat konsesi selama 30 tahun semasa di bawah Barisan Nasional (BN) pada Januari 2000 untuk membina dan mengoperasikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor.

“Ini bermakna SPLASH selaku pemegang konsesi dan pembekal air terawat kepada SYABAS dan SPLASH harus mengambil tanggungjawab terhadap gangguan bekalan air itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, pada persidangan Dewan Rakyat, Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, kejadian letupan yang mencederakan lima kakitangan baru-baru ini merupakan salah satu bukti kegagalan SPLASH menyelenggara Loji Rawatan Air di bawah kendalian syarikat terbabit.

Katanya, kejadian itu berpunca daripada kegagalan SPLASH membaiki tiga pam yang rosak sejak 2016 lagi.

=EZY=


Pengarang :